ADUAN guru pempengaruh, Mohd Fadli Salleh berhubung laman sesawang Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengalami gangguan teknikal sehingga menyukarkan tugasan memasukkan data ke dalam sistem mendapat respons pelbagai pihak.
Majoriti sebelum ini melaporkan, Mohd Fadli mengambil masa kira-kira 10 hingga 20 minit untuk memasukkan data, namun apabila butang hantar ditekan, sistem berkenaan terus tergendala.
Tambahnya, dia memerlukan masa berjam-jam lamanya untuk memasukkan maklumat murid, selain terpaksa bangun tidur seawal pukul 3 hingga 4 pagi untuk memastikan rangkaian tidak terganggu.
Namun, dia semakin kesal apabila data yang sudah disimpan hilang pada keesokan harinya.
Perkara sama dialami oleh beberapa guru yang turut meluahkan rasa kesal di media sosial.
KPM ketika dihubungi Majoriti memaklumkan, pihak sedang menyiasat perkara itu, manakala laporan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Fouzi Singon
Mengulas lanjut perkara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan KPM supaya menambah 'server' pada masa akan datang.
Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, ketika ini KPM yang hanya memiliki satu 'server' dianggap tidak cukup bagi menampung kira-kira 10,200 sekolah yang ada di Malaysia.
"Jadi, kita nak minta supaya Menteri Pendidikan untuk menaik taraf 'server' KPM kepada sekurang-kurangnya empat stesen termasuk di utara, selatan, timur, barat serta Sabah dan Sarawak seperti dilakukan oleh KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi).
"Dulu KPT pun mengalami masalah sama namun dapat diatasi apabila KPT tambah 'server' kepada zon-zon ini," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, perkara tersebut akan dibincangkan bersama Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram