KEHILANGAN 14 tonggak utama dalam kempen Piala AFF 2022 pada kali ini memaksa ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk melakukan eksperimen barisan pemain baharu sebelum memilih skuad terbaik bagi menghadapi cabaran tertinggi rantau Asean itu.
Percaturan yang dimulakan dengan meletakkan muka-muka baharu dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada Jumaat membuahkan hasil dengan kemenangan 4-0.
Berpuas hati dengan keputusan itu, pengendali dari Korea Selatan mengambil pendekatan berbeza dengan meletakkan kembali barisan lama di dalam skuad Harimau Malaya sekali gus mencatat kemenangan 3-0 di perlawanan menentang Maldives pada Rabu.
Kemenangan berganda skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-146 dunia itu membuktikan bahawa pemain-pemain baharu ini bukanlah di tahap hingusan biarpun baru sahaja membiasakan diri dengan taktikal Pan-gon.
Kesebelasan utama Harimau Malaya bagi perlawanan menentang Maldives pada Rabu.— FAM
Biarpun mengakui bahawa kedua-dua perlawanan ini bukanlah realiti sebenar perlawanan Piala AFF nanti, namun penyokong tempatan berpuas hati dengan kesungguhan yang ditampilkan skuad negara.
Menurut salah seorang penyokong Harimau Malaya, Alif Zulkarnain, kedua-dua perlawanan persahabatan tersebut berjaya mencungkil tiga pemain iaitu Faisal Halim, Darren dan Lee Tuck yang dilihat memberikan aura sama seperti trio Paris Saint-Germain (PSG).
"Kita sudah ada trio PSG dalam team Malaysia. Nampak ketara bayangan ala-ala Lionel Messi, Neymar & Kylian Mbappe dalam Faisal, Darren & Lee Tuck," katanya.
Trio PSG, Messi, Mbappe dan Neymar. — PSG
Veshirt Visi turut senada dengan Alif apabila dia memuji ketajaman bahagian serangan dengan gandingan pemain naturalisasi, pemain warisan dan pemain anak jati itu.
"Masuk sahaja Stuart Wilkin, Aliff Haiqal terus mantap bahagian tengah. Trio serangan Lee Tuck, Darren Lok dan Faisal Halim nampak lebih tajam," jelasnya.
Roslan Amar turut mengakui bahagian jentera serangan negara sudah mempamerkan kebolehan untuk mencuri peluang dan momentum perlu diteruskan pada perlawanan Piala AFF nanti.
"Lee Tuck satu-satunya pemain naturalisasi yang berbaloi sebab rajin dan bersemangat demi lencana. Faisal juga sudah semakin matang manakala Darren, cantik hantaran gol dia," katanya.
Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF di Yangon dengan bertemua Myanmar pada 21 Disember, diikuti perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).
Malaysia, juara edisi 2010 dan menamatkan pada tempat kedua pada 1996, 2014 dan 2018, terkeluar pada peringkat kumpulan pada edisi 2020 di Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram