'Mana wakil rakyat patut turun tengok kawasan sini?' Penduduk naik angin tragedi 'fun fair' Puncak Alam


  • Massa
  • Selasa, 13 Dis 2022

Tangkap layar video kejadian orang awam tercampak dari 'sotong ride' di tapak pesta ria di Puncak Alam.

TRAGEDI di sebuah tapak pesta ria atau fun fair pada Isnin malam mengundang kebimbangan tentang keselamatan dan risiko kehilangan nyawa orang awam.

Dalam kejadian yang berlaku di Eco Grandeur, Puncak Alam, dekat Kuala Selangor, Selangor itu, seramai tiga orang awam cedera termasuk seorang parah, selepas tercampak jatuh dari permainan 'sotong ride' yang sedang bergerak.

Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan segera, menggunakan tiga buah ambulans serta sebuah jentera bomba dan penyelamat yang turut bergegas di lokasi sejurus selepas kejadian.

Pihak polis sudah pun memulakan siasatan lanjut berhubung insiden itu di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana disyaki disyaki beroperasi tanpa lesen.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak berpuas hati dan kesal dengan kejadian tersebut yang membabitkan ketidakcekapan respons pihak berwajib.

Seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai John Jenin berkata, dia menyifatkan bahawa terdapat banyak kekurangan dan kelewatan respons pihak hospital, bomba dan polis ketika kes kecemasan itu berlaku.

"Tunggu bantuan sampai punya la lambat disebabkan di kawasan ni tak ada pun balai polis, paling berhampiran pun dekat Ijoi. Ambulans nak sampai, tunggu dari Sungai Buloh, walhal hospital yang ada di sini pun tak dapat nak hantar ambulans.

"Sampaikan mangsa dah separuh nyawa bertahan. Kalau kebakaran atau masalah apa-apa berkaitan penyelamatan pun kena tunggu bomba dari Bestari Jaya yang paling hampir," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Pada masa sama, dia juga mempersoalkan keberadaan pihak bertanggungjawab, yang sepatutnya menyediakan fasiliti asas untuk penduduk bandar Puncak Alam, ditambah pula populasi di kawasan itu semakin bertambah.

"Dimanakah wakil-wakil rakyat yang sepatutnya turun tengok kawasan sini? Bukan tengok beri bantuan hanya di kawasan bandar utama di Kuala Selangor je, ataupun duduk goyang kaki je tunggu ada majlis perasmian baru nak nampak muka.

"Masa pilihan raya hari tu boleh pula turun berkempen sana sini," katanya.

template - 2022-12-13T122355.113

Tangkap layar netizen berhubung insiden di tapak pesta ria di Puncak Alam.

Kesal dengan perkara sama, Shaid Rosli mendakwa, kebanyakan ahli politik mahu mengambil hati rakyat ketika pilihan raya hampir tiba, yang mana hanya dalam tempoh tersebut mereka baru menampakkan muka masing-masing bagi memberi bantuan.

"Ini kerana mereka tahu, rakyat ni tak tengok orang buat kerja, tetapi pilih parti.

"Jadi, mereka tidak hairan pun komen-komen bising ni. Mereka lebih bijak daripada pengundi," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Faezal mengakui bahawa, bandar Puncak Alam sememangnya tiada fasiliti keselamatan.

"Balai polis yang basic tu pun tiada. Ada pun nun jauh di Saujana Utama. Itu pun tak layak digelar balai polis sebab hanya lot kedai yang daif.

"Balai bomba pun tiada. Sepatutnya tak boleh lagi digelar bandar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram