[VIDEO] 'Sotong Ride' tidak seimbang didakwa punca 3 pengunjung termasuk budak lelaki cedera


  • Tular
  • Selasa, 13 Dis 2022

Dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada satu permainan 'fun fair' di Eco Grandeur, Puncak Alam, pada Isnin. — Facebook

AKTIVITI berhibur di taman tema ketika musim cuti sekolah bertukar duka apabila didakwa beberapa pengunjung cedera akibat tercampak ketika bermain permainan di tapak Fun Fair berdekatan Eco Grandeur di Puncak Alam, Selangor.

Berdasarkan video perkongsian dari pengguna akaun TikTok, Ika Missuan yang berada di tempat kejadian, dia mendakwa bahawa terdapat tiga mangsa yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang kanak-kanak terlibat dalam insiden itu.

Menurutnya, pada awalnya permainan itu beroperasi seperti biasa tanpa sebarang masalah, namun begitu dalam sekelip mata ia bertukar sebaliknya.

Tambah pemilik video tersebut, dia menyatakan bahawa ketidakseimbangan bilangan tempat duduk pada permainan 'Sotong Ride' tersebut juga berkemungkinan menjadi punca kepada insiden berkenaan.

"Sotong Merah (permainan) itu ada empat sahaja, yang lain ada empat. Jadi memang tidak seimbang," katanya pada hantaran perkongsian di laman Facebook tersebut.

Selain itu, pemilik video berkenaan juga sempat merakam keadaan kanak-kanak lelaki yang terlibat dalam kejadian itu dan rakaman itu menunjukkan kecederaan pada kulit muka budak tersebut.

Meninjau di ruangan komen hantaran tersebut, seorang pemilik akaun TikTok bernama Soran meninggalkan komen yang mendakwa bahawa kanak-kanak lelaki dan salah seorang wanita itu merupakan adik-beradiknya.

"Ini adik dengan kakak saya. Belum tahu lagi keputusan x-ray," tulisnya yang memberitahu keadaan terkini dua daripada tiga mangsa kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat panggilan telefon mengenai insiden tersebut kira-kira pukul 8.50 malam.

"Ketiga-tiga mereka terjatuh dari permainan 'Sotong Ride' ketika sedang bergerak. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram