[VIDEO] Saga langgar lampu merah sebelum 'hit and run' rider sampai tercampak di Shah Alam


  • Tular
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Tangkap layar video yang memaparkan sebuah motosikal dirempuh kereta di Shah Alam, Selangor.

BUKAN sahaja melanggar lampu isyarat, tetapi juga merempuh seorang penunggang motosikal sebelum melarikan diri.

Difahamkan kejadian berlaku di Seksyen 26, Shah Alam, Selangor pada 8 Disember lalu dan dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain.

Menerusi video itu, lampu isyarat itu sudah menunjukkan lampu merah dan kenderaan yang merakam juga sudah mula berhenti.

Malah, laluan trafik di sebelah kanan video itu juga sudah mula bergerak sebelum kenderaan jenis Proton Saga itu meluncur laju.

Kereta itu dilihat tidak memperlahankan kenderaan sebelum merempuh motosikal di hadapannya sehingga mengakibatkan mangsa tercampak.

Sebuah lagi kereta yang berada di belakang mangsa tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum dilihat merempuh mangsa yang jatuh di tengah jalan raya.

Sementara itu, kenderaan yang menjadi punca kemalangan dilihat tidak berhenti dan berlalu pergi.

Warganet yang melihat punca kejadian turut berang dengan situasi tersebut dan berharap suspek dapat ditahan segera.

"Betul-betul buta warna dan tak nampak ke kereta lain sudah jalan? Dia main terus langgar sahaja," kata Jimmy Chiang San.

"Memang gila. Sudahlah jadi punca kemalangan, kemudian dia berlalu pergi macam itu sahaja," kata Der Gor Zh'ng.

Majoriti sedang berhubung dengan pihak polis untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes ini.

Untuk rekod, melanggar lampu isyarat merah merupakan kesalahan utama yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram