TIGA pelajar perempuan dilaporkan cedera parah apabila terlibat dalam satu insiden kemalangan ngeri yang berlaku di Berhampur, India pada Ahad.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, ketiga-tiga mangsa itu dilihat sedang menunggang basikal sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan berwarna putih.
Berdasarkan video rakaman terbabit, ketiga-tiga mangsa dilihat tercampak dan melekat di hadapan cermin kereta yang dipandu laju itu, lapor Kalinga TV.
Menurut laporan tersebut, kemalangan itu dipercayai berlaku disebabkan pemandu 'gila' terbabit memandu laju dan hilang kawalan sekali gus melanggar ketiga-tiga mangsa yang kebetulan berada di kawasan kejadian.
Difahamkan selepas insiden terbabit, orang ramai yang berada di kawasan kejadian segera menghulurkan bantuan untuk membantu mangsa.
Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital berdekatan kerana mengalami kecederaan yang serius akibat rempuhan terbabit.
Pihak polis tempatan berkata, mereka sudah mula membuka kertas siasatan dan meneliti rakaman insiden yang berjaya dirakam menerusi CCTV berdekatan kawasan kejadian.
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan kritikal dan masih dirawat di hospital. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram