GARA-gara bersembang, dua penunggang motosikal terlibat kemalangan selepas berlanggar sesama sendiri di Kampung Pinang, Perak pada Isnin.
Kejadian itu dipercayai berlaku susulan kecuaian penunggang terbabit yang dilihat saling berborak sebelum hilang kawalan.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mereka tercampak dan berguling atas jalan tar selepas gagal mengawal motosikal masing-masing.
Meskipun memakai topi keledar, mangsa difahamkan mengalami kecederaan serius di badan akibat geseran di laluan tersebut.
Dikongsikan di laman media, rakaman tular itu menerima lebih 100,000 jumlah tontonan setakat ini dan hangat diperkatakan warganet.
Susulan kejadian itu, tiga lagi penunggang lain dipercayai rakan mangsa dilihat meneruskan perjalanan tanpa memberikan bantuan dalam kemalangan terbabit.
Ada berpendapat bahawa situasi itu sememangnya berpunca akibat kesalahan penunggang tersebut yang memandu dalam keadaan berbahaya namun sesetengah pihak turut meletakkan kesalahan kepada tiga pemuda berkenaan yang langsung tidak peka dengan keselamatan rakan di belakang.
Di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan pendapat masing-masing.
"Kalau nak bersembang, jangan atas jalan pergi la duduk kedai kopi sembang sepuas hati, kan dah berlanggar sesama sendiri, apa-apa pun semoga dipermudahkan urusan buat mangsa," kata Elly Ly.
"Kasihan yang kemalangan, itulah kawan bila bersembang sama-sama tapi kalau dah tergolek semua menghilangkan diri jalan terus tak hirau keadaan kawan," jelas Zaifol Azhar.
"Aku cukup benci kalau orang jenis naik motosikal sambil bersembang dengan kawan lepas itu bawa tengah jalan dan menyusahkan orang lain bila berlanggar," tambah Izi Marzuki.
"Yang jatuh memang dah tercedera, tapi aku pelik tiga lagi rakan dia langsung tak ambil berat bila dah kemalangan, jalan terus macam tak ada apa berlaku," ujar Asyraf Mior.
Dalam pada itu, kejadian berkenaan masih belum ada sebarang laporan lanjut daripada pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram