SEORANG penunggang motosikal melalui detik tragis apabila dirempuh dan tercampak di laluan jalan raya PGA Cheras, Hulu Langat, Selangor pada Ahad.
Kemalangan itu berlaku susulan penunggang terbabit dipercayai melanggar lampu isyarat merah ketika menunggang di laluan berkenaan.
Menunggang dengan kelajuan yang agak tinggi, mangsa kemudiannya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah belakang yang sekali gus mengakibatkan lelaki terbabit tercampak ke tengah jalan.
Namun, perhatian warganet dilihat lebih tertumpu kepada dua penunggang yang tidak memberikan bantuan kepada mangsa dalam kemalangan terbabit.
Meskipun kejadian itu berlaku di hadapan mereka, kedua-duanya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi mahupun bantuan, sebaliknya hanya berdiam diri dan tidak berganjak daripada motosikal masing-masing.
Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua lelaki terbabit akhirnya membantu mangsa atau tidak kerana rakaman dashcam terhenti di situ.
Dikongsikan di laman Facebook, rakaman tular itu menerima lebih 190 jumlah perkongsian setakat ini.
Berdasarkan rakaman tersebut, mangsa dipercayai mengalami kecederaan serius akibat rempuhan berkenaan.
Susulan insiden itu, dua lelaki lain dilihat meluru ke arah mangsa untuk menghulurkan bantuan dan melihat situasi semasa.
Namun di sebalik kekecohan yang berlaku, dua penunggang yang berada di hadapan dilihat langsung tidak berganjak dan tidak mempedulikan kemalangan terbabit.
Ia sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dan kecaman daripada warganet berhubung kejadian tersebut.
"Memang la salah mangsa sebab langgar lampu merah, tapi dua penunggang itu sekurang-kurangnya tolong dan bantu la mangsa, tak kira la dia salah ataupun betul, kalau dah terjadi pada diri sendiri baru tahu susah," kata Asnah Salim.
"Yang dua orang itu kenapa tak tolong mangsa, dapat bantu ajar mengucap pun jadi la ini tidak, langsung tiada perasaan buat tak tahu masa kejadian berlaku," jelas Hamdan Ramlie.
"Sampainya hati dua orang itu, kemalangan berlaku depan mata tapi boleh tengok je tak ada rasa nak tolong langsung, harap mangsa dalam keadaan stabil," tambah Ras Asdya.
Namun, setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut berkenaan status mangsa dan pihak polis juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kemalangan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram