SETIAP tingkah laku atau cara pemakaian orang-orang ternama sering kali menjadi buah mulut orang ramai.
Apatah lagi, individu terbabit dianggap idola yang memberi contoh baik kepada para pengikutnya.
Perkara ini juga dilihat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat perhatian rakyat negara ini, beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Pada Jumaat pagi, Anwar tiba di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.
Anwar (kanan) melakukan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. —Twitter Anwar Ibrahim
Jika dilihat, beberapa pemimpin negara sebelum ini kebanyakan mengenakan sut dan kot sebagai pakaian rasmi pada hari pertama mereka memulakan tugas.
Berbeza dengan Anwar, beliau pada hari tersebut dilihat mengenakan baju Melayu lengkap bersamping, selain memakai capal.
Ini sekali gus membuatkan netizen terpegun dengan sikap beliau yang dilihat memartabatkan budaya Melayu, khususnya pada hari Jumaat.
Distalia Anggaini berkata, sentuhan pemakaian Anwar itu disifatkan halus dengan makna dan tinggi nilainya.
"Hari pertama lagi beliau sudah mengangkat martabat dan warisan kemelayuan.
"Baju Melayu, songkok dan capal. Amat berseni penyampaian Anwar Ibrahim," katanya menerusi komen di laman Twitter.
@confidentjer berkata, orang Melayu bebas untuk untuk memakai pakaian kebangsaan pada hari Jumaat, manakala capal merupakan sebahagian daripada baju Melayu.
"Anwar baru-baru ini berikrar untuk membangkitkan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Begitu juga pakaian tradisional. Jadi, jangan buat sebarang penilaian," katanya.
Selain itu, gambar Anwar menanggalkan capal dan berkaki ayam ketika bermesyuarat di dalam Pejabat Perdana Menteri turut mendapat perhatian netizen.
Anwar (kiri) menanggalkan capalnya ketika bermesyuarat di Pejabat Perdana Menteri. —Twitter Anwar Ibrahim
@mysrtmz menulis: "Anwar berjaya mensantaikan suasana penjawat awam yang ketat tu. Pakai baju Melayu keluar, buka capal masa mesyuarat, duduk sebelah dengan Ketua Setiausaha Negara masa bincang. Super nice."
Tulis @_nsyakinah: "Perdana Menteri Malaysia sendiri memakai selipar ke tempat kerja dan menanggalkannya supaya selesa dan berkaki ayam semasa mentadbir negara. Lepas ni tiada siapa yang boleh ajar saya tentang kod pakaian."
Kata @muhdfathullah: "Gambar Anwar meeting (mesyuarat) di Pejabat Perdana Menteri dan buka capal tu sebenarnya kalau tunjuk ke orang kampung mesti boleh jual."
Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 1985. — Facebook
Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 1985 menetapkan pakaian masa bekerja da semasa menghadiri acara rasmi bagi pegawai-pegawai penjawat awam.
Perkara 2.1.6 menetapkan, kasut kulit atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya. Capal boleh dipakai dengan pakaian baju Melayu yang lengkap dengan bersamping. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram