TERENGGANU FC berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Selangor FC di bawah Tan Cheng Hoe dengan kemenangan tipis 1-0.
Namun, kemenangan itu tidak bermakna kerana Selangor FC memperoleh agregrat 3-2 menentang Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dekat Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.
Ini sekali gus melayakkan The Red Giants ke final Piala Malaysia.
Seperti biasa, setiap perlawanan bola sepak pasti ada pemain yang menjadi buah mulut penyokong ketika mereka beraksi di atas padang.
Antara aksi pemain Terengganu dan Selangor dalam perlawanan pada Sabtu. — Facebook Selangor FC
Ketika aksi separuh akhir masa pertama minggu lalu, rata-rata penyokong Sang Penyu agak hampa melihat persembahan ditunjukkan oleh Faisal Halim, yang dilihat agak tidak bersemangat dan bermain secara acuh tidak acuh selepas ditewaskan Selangor FC 1-3.
Berbeza dengan minggu ini, penyokong Terengganu kali ini menumpukan perhatian kepada penampilan Faiz Nasir yang disifatkan kurang memberangsangkan.
Menjengah ke ruangan media sosial, rata-rata penyokong mengkritik aksi longlai bekas pemain Selangor FC itu.
Menerusi loghat Terengganu, Ahmad Nazri Bin Ali menganggap corak permainan ditunjukkan oleh pemain kelahiran Kelantan itu agak perlahan.
"Orang nok nyerang ye wak skill lem** buleh (kita nak serang, tapi dia buat skill). Doh (Dah) la malas nak kejor bola. Ooo parok (menyusahkan)," katanya.
Berpendapat sama, Mohd Tarmizi berkata: "(Faiz) melambatkan permainan bola dalam mode menyerang. Kena cepat buat keputusan bila menyerang."
Tulis Zuraidi Mohamad: "Belum capai 100 peratus prestasi. Normal apabila semua pemain ada turun naik prestasi. Moga lebih baik di musim 2023. TFC bangkit."
Pada Sabtu ini, Selangor bakal bertembung dengan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram