Tidak takut bayang-bayang sendiri, Selangor FC dipuji bersikap 'gentleman'


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Selangor FC dipuji kerana tidak menyekat pemainnya untuk mengembangkan potensi bersama pasukan lain. — Instagram/Nik Sharif

SELANGOR FC membawa kelebihan dua gol menjelang aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Terengganu (TFC) 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Rabu.

Keputusan yang berpihak kepada Selangor itu sememangnya menjadi berita gembira buat pasukan berkenaan berjaya menamatkan badi kekalahan selama sembilan kali berturut-turut kepadaTerengganu.

Bukan itu sahaja, kemenangan itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah Selangor sepanjang di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Sehingga kini Selangor merekodkan sembilan perlawanan tanpa kalah sejak pengendali kelahiran Kedah itu menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih skuad Gergasi Merah pada hujung September lepas.

Selain daripada prestasi Selangor yang dipuji semakin meningkat, sikap keterbukaan pasukan Gergasi Merah juga mendapat pujian daripada penyokongnya.

Perkara itu diketengahkan kerana pemain pinjaman Selangor, Nik Sharif Haseefy dilihat turun beraksi bersama skuad Penyu dalam perlawanan menentang majikannya itu.

WhatsApp Image 2022-11-18 at 1.47.20 PM

Pemain sayap itu menyarung jersi Selangor pada penghujung Disember 2020. — Instagram/Nik Sharif

Antara yang memuji sikap pasukan berkenaan, adalah peminat bola sepak tanah air, Abang Sokernet.

“Tahukah anda, Nik Sharif Haseefy ialah pemain Selangor yang dipinjamkan kepada pasukan Terengganu untuk saingan musim ini.

“Apa yang menarik, beliau dilihat sudah beberapa kali bermain menentang Selangor. Ternyata Selangor ialah pasukan yang bersifat gentlemen dan tenang apabila membenarkan pemainnya sendiri bermain menentang mereka,” tulisnya pada hantaran di Facebook miliknya.

Bukan hanya pada perlawanan menentang Selangor pada Rabu lalu, malah pemain berusia 25 tahun itu juga diturunkan sewaktu perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Seperti yang dikatakan oleh pengguna Facebook itu, sikap keterbukaan Selangor membuktikan mereka ingin melihat pemainnya cemerlang walaupun bersama pasukan lain.

“Walaupun mempunyai hak untuk melarang, tetapi Selangor tenang saja beri peluang kepada Nik Sharif untuk bermain dan berkembang maju berdaya saing.

“Tidak perlu takut pada bayang-bayang sendiri, malah tidak mencampuri hal susun atur perjalanan liga atau kejohanan, serta tidak memilih pengadil, Selangor tenang menghadapi semuanya dengan santai.

“Syabas kepada pasukan Selangor yang mampu bersaing secara gentlemen walaupun dilihat kurang serba-serbi,” katanya.

WhatsApp Image 2022-11-18 at 1.48.06 PM

Rodney dilihat menjadi antara watak penting dalam pasukan Kedah sehingga Sang Kenari memutuskan untuk mengikatnya. — Selangor FC

Selain daripada Nik Sharif, bekas pemain pertahanan Selangor, Rodney Celvin Akwensivie juga pernah dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk saingan Liga Super musim 2021.

Susulan prestasi cemerlangnya, Rodney akhirnya menjadi milik tetap Sang Kenari apabila diikat selama dua tahun oleh Hijau Kuning pada musim ini.

Semasa berstatus sebagai pemain pinjaman, pemain berusia 26 tahun itu juga diturunkan sewaktu perlawanan menentang Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram