Tanpa 'Nafuzi ball', mungkin ini 3 sebab TFC kekalkan Habib Haroon musim depan


  • Podium
  • Isnin, 21 Nov 2022

Habib merupakan watak penting di sebalik kecemerlangan Sang Penyu musim ini. — Facebook/Terengganu FC

PEMERGIAN ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dilihat sedikit sebanyak merobek hati penyokong pasukan Pantai Timur itu selepas satu musim yang membanggakan.

Selepas bergelut pada awalnya, jurulatih muda itu berjaya membawa perubahan setelah menerapkan ideologi serta pendekatan taktikalnya dengan jelas ke dalam skuad Sang Penyu.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga ramalan yang menyebut beberapa tonggak pasukan bakal mengikut jejak langkah pengendali itu ketika jendela perpindahan kelak.

Antara nama yang dikhabarkan bakal meninggalkan Terengganu FC ialah pemain sayap tempatan, Faisal Halim dan import berpengaruh, Manuel Ott selepas tidak disambung kontrak masing-masing.

315532292_5976727062340197_3846326236921718128_n

Khabar angin mengatakan Habib akan kekal bersama Terengganu FC untuk semusim lagi. Facebook/Terengganu FC

Namun, di sebalik perkhabaran itu, muncul pula satu desas-desus yang mengatakan jeneral pasukan, Habib Haroon bakal kekal selepas menerima tawaran daripada pihak pengurusan.

Meskipun masih berstatus khabar angin, ia tidak menghalang penyokong untuk meluahkan kegembiraan mereka selepas menyaksikan sumbangan pemain kelahiran Bahrain itu sepanjang musim.

"Baik tu, patutnya diikat dengan lebih lama kerana dia pun masih muda lagi," kata Aliff Aiman.

"Ini adalah berita yang paling baik yang saya dapat dengar sepanjang hari ini," kata NadMed78.

"Dia ni boleh digunakan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang, baik juga keputusan itu," kata KasJol.

Tetapi, ada juga segelintir penyokong yang mempersoalkan tentang beberapa import lain, seperti Tchetche Kipre dan Pape Diakite dengan kehadiran mereka jelas membawa perubahan.

Bagaimanapun, sekiranya dilihat secara lebih mendalam, kehadiran Habib dalam pasukan adalah lebih penting apabila dia berjaya mencipta keserasaian setiap kali bermain.

Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang membuktikan bahawa keputusan untuk mengekalkan pemain berusia 22 tahun itu dalam skuad Sang Penyu adalah tepat.

1. Usia

Di samping kebijaksanaan Nafuzi dalam merancang gerak-geri pasukan, Terengganu FC turut berjaya meraih kecemerlangan musim ini disebabkan keseimbangan antara pemain muda dan berpengalaman dalam skuad.

Antara nama-nama muda yang diberi kepercayaan adalah pertahanan kanan, Azam Azmi Murad dan Habib dengan masing-masing berusia 21 dan 22 tahun.

Bagi penyokong, mereka pastinya mengharapkan bakat-bakat itu mampu dikekalkan dalam meneruskan prestasi musim ini walaupun terdapat perubahan dari segi kejurulatihan.

315710760_1598332457264096_1513366806769179359_n

Usia muda tidak menghalang Habib (kiri) daripada menjadi tonggak TFC. Facebook/Terengganu FC

Jadi, tidak hairanlah apabila pihak pengurusan tidak teragak-agak untuk menawarkan kontrak lanjutan kepada Habib setelah kerap diturunkan dalam aksi Liga Super.

Musim ini, pemain tengah itu hanya tidak diturunkan sebanyak dua kali dalam kesemua perlawanan meskipun terdapat saingan hebat di posisi tersebut, termasuk daripada Petrus Shitembi dan Manuel Ott.

Hal itu sememangnya dilihat sebagai satu kelebihan buat pasukan dengan dia dipercayai meinmba pengalaman penting, sekali gus membolehkannya terus berkhidmat buat Terengganu FC.

2. Sumbangan buat pasukan

Antara elemen penting dalam finalis Piala FA 2022 itu untuk mengharungi satu musim yang cemerlang adalah dengan pemahaman setiap pemain dalam peranan masing-masing.

Di jentera serangan, mereka jelas memberi ancaman hebat buat pasukan lawan dengan menjaringkan 39 gol dalam 22 perlawanan Liga Super menerusi gabungan serasi Faisal, Tchetche dan Faiz Nasir.

Benteng serangan mereka juga jelas memberi sumbangan besar selepas hanya dibolosi sebanyak 20 kali selepas kecemerlangan individu dan berpasukan berjaya disaksikan sepanjang musim.

315735940_1597747833989225_8218027182465238552_n

Habib hanya sekali tidak diturunkan dalam aksi Liga Super musim ini. Facebook/Terengganu FC

Namun, di sebalik pujian melambung itu, pemain tengah, termasuk Habib kurang diberi kredit oleh penyokong meskipun mereka menggalas satu peranan besar.

Perkara itu jelas tidak diberi endah oleh import kental itu selepas dia beraksi secara konsisten, terutama dalam menyekat hantaran pihak lawan atau mendapatkan semula penguasaan bola.

Hal tersebut berjaya menarik perhatian pihak kejurulatihan dan pengurusan yang tidak mahu bakat berpotensi besar itu untuk meninggalkan pasukan ketika jendela perpindahan.

Bagaimanapun, status Nafuzi sebagai pengendali juga dijangka bakal memberi sedikit sebanyak pengaruh buat Habib dari segi penampilan serta kepercayaan sekiranya wajah baharu dibawa kelak.

3. Saingan hebat Terengganu FC musim depan

Ogos lalu, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan terdapat pertambahan jumlah pasukan yang bakal bersaing dalam kancah bola sepak tempatan.

Meskipun terdapat beberapa pasukan menarik diri, 15 kelab dalam format baharu itu bakal memberi tekanan berbeza kepada pasukan dengan jumlah perlawanan bakal dinaikkan kepada 28 berbanding 22 ketika ini.

Antara pasukan yang pasti bergelut dengan hal itu ialah Terengganu FC selepas satu kempen yang sibuk dalam Liga Super selain kemaraan sukar ke pentas akhir Piala FA.

Lebih teruk lagi, jadual mereka pastinya padat setelah berjaya melayakkan diri ke pentas Asia musim depan berikutan kejayaan untuk menamatkan saingan liga di kedudukan kedua Liga Super musim ini.

314714060_1593750851055590_5738021991178989790_n

Siapa dalam kalangan import Sang Penyu bakal kekal untuk musim depan? Facebook/Terengganu FC

Oleh itu, pihak pengurusan pasti bertindak untuk mengekalkan beberapa tonggak pasukan di samping membawa masuk wajah-wajah baharu dengan tujuan mempersiapkan skuad dengan lebih awal.

Habib dilihat sebagai individu yang ditagih khidmatnya untuk musim akan datang selepas dia dilihat sudah memahami landskap bola sepak tanah air walaupun hanya satu musim bersama Terengganu FC.

Selain itu, penyokong juga perlu menjangkakan bahawa pihak pengurusan akan meneruskan usaha tersebut dengan 'memujuk' beberapa pemain penting lain dalam memberi saingan hebat dalam mana-mana kejohanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram