'Pemain versatil tiada ganti', fans backup Faisal Halim selepas dituduh main sambil lewa


  • Podium
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Keistimewaan Faisal adalah boleh menembusi benteng lawan sekiranya tidak dijaga dengan rapi. — Facebook/ Terengganu FC

KEKALAHAN Terengganu FC (TFC) kepada Selangor FC dengan catatan 1-3 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Rabu lalu sememangnya satu tamparan buat pasukan dari Pantai Timur.

Ini kerana kekalahan tersebut bermaksud TFC gagal mengekalkan rekod tanpa kalah selama lebih tiga tahun ke atas Selangor FC, selain daripada berisiko untuk tidak layak ke pentas final.

Lebih mengeruhkan keadaan, kekalahan itu berlaku sewaktu penyokong masih lagi 'terkejut' dengan kemelut melibatkan pengurusan TFC dan ketua jurulatih mereka, Nafuzi Zain.

Mungkin rasa seperti dikhianati ekoran isu tersebut, sebahagian peminat TFC mengaitkan kekalahan pada masa itu dengan perasaan tawar hati pemain kesayangan mereka, Faisal Halim untuk menyumbangkan gol buat skuad Hitam Putih.

Faisal pernah mendedahkan mengenai tawaran Selangor FC dalam temu bual bersama sebuah media tempatan.

Faisal yang sebelum ini pernah mengakui mendapat tawaran Selangor FC dikatakan bermain secara acuh tak acuh apabila bertindak menghantar bola ke Kpah Sherman yang sedang dikawal rapi pemain Red Giants berbanding terus meledakkan gol.

Merasakan kecaman pemain yang mesra dengan panggilan Mickey tersebut tidak munasabah, seorang penyokong Terengganu menggunakan laman Analisis Bola Tranung untuk membuat hujahan.

"Aku sangat terkilan apabila ada peminat yang mengatakan Faisal bermain dengan tidak bersungguh. Mobiliti yang ada padanya menjadikan dia watak utama walaupun bermain di posisi sayap.

"Faisal sentiasa diberi kebebasan oleh Nafuzi Zain kerana dia tahu akan kelebihan pemain ini. Tidak pelik jika Faisal masuk ke central area kerana beliau boleh juga menyumbang dari kawasan itu.

"Lihatlah pada babak pertama, Faisal diletakkan di posisi sayap kiri dan banyak menyumbang. Sebaliknya berlaku kepada Nik Syarif yang agak senyap untuk perlawanan kali ini.

"Separuh masa kedua pula, Faisal dialih ke sebelah kiri dan tiada masalah besar untuknya terus memberikan sumbangan dengan sentiasa bergerak pantas dan melibatkan diri dalam gameplay kita," tulisnya panjang lebar.

Faisal (kiri) bertindak menghantar bola ke Kpah (kanan) berbanding terus menjaringkan gol tersebut.

Tambahnya lagi, watak Faisal sebagai pakar gelecek dan lincah menebuk pertahanan lawan akan dirindui satu hari nanti sekiranya pemain berusia 24 tahun tersebut ditakdirkan tidak lagi bersama TFC pada musim 2023.

Oleh itu, penyokong Terengganu diminta agar hargai jasa pemain berasal dari Pulau Piang itu berbanding mengkritiknya atas sesuatu isu yang tidak berasas.

"Keistimewaan Faisal mampu bermain di kedua-dua belah sayap tiada pada pemain lain di TFC musim ini. Faiz Nasir agak terencat aksinya apabila diarahkan untuk bermain di sayap kiri.

"Faiz tiada pace dan kepantasan seperti yang ada pada Faisal Halim. Jika lawan mempunyai kepantasan dan kekuatan fizikal, Faiz tidak lagi boleh memberi sumbangan besar di sayap kiri.

"Kaki kanan Faiz lemah, setakat kawalan bola masih mantap, tapi untuk melakukan penetration run (larian tembusi benteng pertahanan lawan) sudah tak berdaya lagi," tambahnya.

Terdahulu, Faisal dalam temu bual bersama media tempatan mengakui kecewa penyokong TFC percaya khabar angin bahawa dia sudah ikat kontrak dengan Selangor FC yang secara tidak langsung mempengaruhi corak permainannya pada Rabu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram