BERSAMA skuad Sang Kenari, pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Fayadh Zulkifli menunjukkan potensi untuk menjadi pemain dalam kesebelasan utama pada musim depan.
Ketika ini, ubi muda lincah kelahiran Baling itu banyak diturunkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Aksinya wajar dipuji kerana Fayadh berkebolehan menjadi 'supersub' apabila mampu menggegarkan gawang lawan sebaik dibawa masuk ke dalam padang.
Bahkan bekas pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak juga sebelum ini memberi kredit kepada Fayadh yang dilihat memberi impak kepada pasukan ketika menentang Kaya Iloilo dalam aksi Kumpulan G saingan Piala AFC, Jun lalu.
Fayadh kurang menyerlah jika perlu beraksi dalam tempoh 90 minit permainan. — Facebook
Pemain berusia 24 tahun dikatakan memberi kesan apabila bermain di belakang penyerang, dan bukan sebagai pemain sayap.
Pada usia cukup ranum, Fayadh sepatutnya boleh menjadi pemain yang mampu beraksi dalam tempoh 90 minit permainan.
Namun, aksi masa penuh pemain berketinggian 160 sentimeter itu ketika ini agak hambar berbanding jika dia beraksi sebagai substitute.
Hal itu menyebabkan namanya agak samar berbanding bintang muda seusianya seperti Faisal Halim di Terengganu FC dan Akhyar Rashid (JDT).
Bahkan, kalau mahu dibandingkan dengan Arif Aiman yang empat tahun lebih muda daripadanya, sudah tentu pemain sayap lincah Harimau Selatan berstatus MVP (most-valuable player) itu lebih jauh menyinar.
Seorang peminat bola sepak tempatan, Gambino berkata, Fayadh kurang konsisten dalam permainan lebih-lebih lagi jika bermain dalam kesebelasan utama.
"Masuk 'supersub' nampak okay...main first eleven terus tak nampak bayang. Banyak kali juga perasan. Stamina pun tak berapa baik, mungkin nak kena ada sistem latihan yang betul," tulisnya di laman Twitter onefootball.my.
Faisal Halim (kanan) antara bintang TFC yang digilap oleh Nafuzi. — Facebook
Syahmi Syahiran pula berpendapat, Fayadh bukanlah pemain yang tidak bagus namun dia hanya memberikan impak jika bertindak sebagai 'supersub'.
"Bukan tak bagus tapi dia ni lebih kepada 'supersub'. Kalau bagi main 90 minit, impak berkurangan.
"Mickey (Faisal Halim) dulu pun selalu jadi 'supersub' juga kat Pahang tapi musim lepas, dia mula main full time. Bakatnya semakin digilap di Terengganu FC," katanya.
Di bawah kendalian ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, Faisal Halim menjadi antara tonggak skuad Sang Penyu mencipta kejayaan termasuk bergelar naib juara Liga Super dan Piala FA.
"Faisal Halim pun main tak cerdik juga dulu, masuk Terengganu terus power mungkin asuhan coach sendiri yang pandai develop (pemain)," kata Farid Ramli.
Arif Aiman merupakan pemain termuda Liga Super yang menempa nama dalam tier 1 Liga Malaysia sejak usia 19 tahun. — Facebook
Melihat ke hadapan, Fayadh dirasakan mampu menjadi the next Faisal Halim kerana bakal mendapat bimbingan Nafuzi yang dikatakan akan mengemudi skuad Hijau Kuning musim depan.
Ini berdasarkan reputasi jurulatih berusia 44 tahun itu menggilap bakat-bakat pemain muda Terengganu FC semasa berkhidmat dengan kelab Pantai Timur tersebut.
Nafuzi banyak mengubah corak dan permainan Terengganu FC antara lain dengan menerapkan falsafah bola sepak moden hingga mewujudkan identiti bola sepak tersendiri buat skuad Sang Penyu.
Dengan penyertaan Nafuzi ke Sang Kenari, prestasi dan mutu permainan pemain khususnya ubi muda Kedah diharap dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik.
Untuk rekod, Fayadh meledak sembilan gol secara keseluruhan dalam semua aksinya bersama skuad Sang Kenari musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram