SELEPAS memulakan kempen 2021 dengan prestasi cemerlang, isu kecergasan dan kekurangan pemain menyaksikan Sabah FC terlepas slot automatik ke Piala AFC musim depan.
Pengumuman lewat daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengatakan pasukan di tangga ketiga tidak layak secara terus ke pentas Asia jelas meleburkan hasrat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Selain itu, tiga kekalahan dalam lima perlawanan terakhir, termasuk kekalahan 0-3 yang dicatatkan ketika bertemu juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) membolehkan Terengganu FC memintas mereka dengan mudah.
Meskipun pada awal musim Kim Swee ada mengatakan lima teratas adalah sasarannya, mereka pasti berasa kecewa selepas menghabiskan majoriti musim di kedudukan kedua sebelum menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.
Namun, dengan peluang masih terbuka menerusi kempen Piala Malaysia, skuad Sang Badak pastinya lebih fokus untuk membina satu pasukan lebih mampan musim depan.
Aktiviti membawa masuk pemain baharu pastinya dilakukan dengan lebih rancak ketika jendela perpindahan bagi memastikan kualiti pemain berada di tahap terbaik.
Perkara itu juga pastinya didambakan penyokong setia Sabah FC yang semestinya mahu kecemerlangan musim ini diteruskan ketika kejohanan Piala Malaysia dan untuk musim akan datang.
Tetapi, bagi seorang peminat tegar, Lee Sabah menerusi akaun Facebook Official Sabah FC Fans Club 2022, dia sudah memberikan sedikit garis panduan yang boleh diguna pakai pihak pengurusan.
Cadangan itu dilihat bernas dan diterima segelintir penyokong lain yang meluahkan sokongan terhadap laungan itu bagi membolehkan pasukan Borneo itu lebih mencabar selepas ini.
1. Pemilihan pemain import
Dalam skuad kendalian Kim Swee itu, terdapat beberapa pemain import yang dibawa masuk dalam usaha memberikan kelebihan berbeza, baik di bahagian serangan mahupun pertahanan.
Wajah-wajah penting, seperti pemain tengah, Park Tae-su dan penyerang sayap, Saddil Ramdani dikatakan sebagai tonggak pasukan dengan peranan masing-masing.
Namun, bagi Lee Sabah, perkara itu masih perlu ditambah baik dengan berpendapat kemasukan pemain kelahiran Guinea-Bissau, Jose Embalo tidak memberi pulangan lumayan.
Embalo hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan. — Facebook/Sabah Football Club
"Sebenarnya, ini salah satu kesilapan besar Sabah musim ini. Kuota import kita betul betul macam rugi, terutama di bahagian serangan seperti Jose Embalo masuk ganti Neto Pessoa, itu satu kerugian besar," katanya.
Perkara itu sepertinya dibuktikan di atas padang apabila penyerang itu hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan liga sebelum dihurung kecederaan.
Selain itu, peminat tegar itu juga mahu pihak pengurusan mencari seorang pemain import yang mempunyai tahap kecergasan terbaik serta tidak mudah dilanda kecederaan.
"Lagipun, cuba ambil import yang risiko kecederaannya kurang. Pertahanan tengah, Jackson (de Souza) sudah dua kali cedera musim ini dan banyak perlawanan dia terlepas. Jadi, di posisi pertahanan, kita sering dibolosi bila dia tiada," katanya.
Pendapat itu menerima respons positif daripada penyokong lain dengan Selvin Selvister tidak menolak bahawa bekas ketua jurulatih kebangsaan itu mementingkan kehadiran pemain import.
"Sangat setuju kerana saya tahu, pemilihan pemain import sangat-sangat penting pada musim baharu nanti. Taktikal coach DOKS juga sangat memainkan peranan," katanya.
2. Baiki jentera serangan
Musim lalu, Sabah FC mempunyai salah satu jentera serangan terbaik setelah berjaya menjaringkan 36 gol dalam 22 kesemua perlawanan Liga Super.
Bagaimanapun, sekiranya diteliti secara lebih mendalam, penyokong akan menyedari bahawa sumbangan terbesar adalah daripada Tae-su yang beraksi sebagai pemain tengah bertahan.
Ketumpulan Embalo di hadapan pintu gol dan usia Amri Yahyah yang memasuki 40-an menyukarkan peranan serangan diletakkan di bahu mereka sepenjang musim.
Perkara itu juga disedari penyokong fanatik itu dengan mempersetujui bahawa sumbangan gol adalah berpunca daripada Tae-su dan seorang lagi pemain tengah, Baddrol Bakhtiar.
Tae-su merupakan penjaring terbanyak buat skuad The Rhinos dalam Liga Super. — Facebook/Sabah Football Club
"Jadi, di sini sudah dikenal pasti masalah Sabah. Kita tidak konsisten di posisi serangan untuk dapatkan gol. Posisi ini The Rhinos perlu betul-betul mantapkan musim depan," katanya.
Lee Sabah juga meletakkan contoh bagaimana dua pasukan teratas, JDT dan Terengganu yang masing-masing mempunyai penyerang berbisa seperti Bergson bersama Harimau Selatan dan Tchetche Kipre bersama skuad Sang Penyu.
Bagi Matleh Sinin, dia bersetuju akan perkara itu dengan mengharapkan kehadiran seorang penyerang baharu ketika jendela perpindahan untuk menambah baik pasukan.
"Sangat-sangat setuju, macam mana kita mahu balas dendam ke atas JDT nanti sekiranya kita bertemu di peringkat separuh akhir Piala Malaysia kerana Sabah FC ketumpulan di posisi serangan," katanya.
3. Cari perancang tengah
Dalam memastikan penyerang mempunyai peluang keemasan di hadapan pintu gol lawan, mereka perlu menerima hantaran cantik daripada rakan sepasukan.
Selain meletakkan tanggungjawab itu ke atas pemain sayap, bantuan daripada pemain tengah juga dilihat sebagai perkara penting sekiranya berhasrat untuk menambah baik peluang pasukan.
Bagi Sabah FC, penyerang kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani muncul sebagai penyumbang hantaran terbanyak apabila berjaya mencipta enam hantaran.
Namun, daripada pemain tengah, bantuan itu kerap muncul daripada kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang mencipta empat hantaran menerusi sepakan percuma dan cara-cara lain.
Jadi, tidak hairanlah apabila Lee Sabah meminta agar seorang perancang tengah yang lebih prolifik dapat dibawa masuk sesuai dengan taktikal Kim Swee.
Baddrol merupakan salah satu penyumbang di bahagian serangan musim ini. — Facebook/Sabah Football Club
"Sabah perlu cari pemain tengah lebih kreatif untuk merancang dari kawasan tengah. Gary (Robbat) dan Stuart (Wilkin) rasanya OK, tetapi kalau kita dapat import seperti pemain Sri Pahang, (Manuel) Hidalgo memang mantap," katanya.
Tambahnya, pihak pengurusan dan kejurulatihan Sang Badak juga perlu bersedia sekiranya khabar angin Saddil meninggalkan pasukan adalah benar.
Perkara itu dipersetujui seorang lagi penyokong, Sebuah Tawa Dan Cherita dengan menyokong kemasukan pemain kreatif di posisi tengah sangat didambakan mereka yang lain.
"Perkara nombor satu paling penting untuk musim depan kerana penyerang import yang berkualiti sememangnya diperlukan. Selain itu, pemain tengah yang boleh suap bola cantik juga diperlukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram