KEKALAHAN yang dialami Sabah FC pada perlawanan terakhir Liga Super di tangan Johor Darul Takzim (JDT) menyaksikan pasukan itu menamatkan kempen di tangga ketiga selepas mudah dipintas Terengganu FC.
Perkara itu sekali gus menyebabkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal untuk melayakkan diri ke saingan Piala AFC tahun depan selepas terdapat pengumuman lewat daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Hal tersebut pastinya mendatangkan kekecewaan kepada skuad The Rhinos serta penyokong selepas mereka berjaya mengharungi satu musim dengan cemerlang.
Kekecewaan itu turut diluahkan ketua jurulatih yang berasakan kekecewaan terhadap perubahan itu selepas sebelum ini pasukan di kedudukan ketiga berpeluang untuk layak ke pentas Asia.
Namun, mereka masih berpotensi untuk merebut slot terakhir itu sekiranya mereka berjaya menjulang trofi Piala Malaysia yang bakal bermula hujung bulan ini.
Bagaimanapun, perkara itu tidaklah mudah untuk direalisasikan apabila undian dibuat menyaksikan pasukan itu berkemungkinan besar akan menghadapi skuad Harimau Selatan di peringkat separuh akhir.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kemungkinan besar bahawa penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat tidak akan beraksi bersama skuad Sang Badak selepas mengalami kecederaan ketika pertembungan dengan JDT.
Keadaannya itu kelihatan serius apabila penjaga gawang senior itu dibawa keluar pada separuh masa pertama dengan digantikan pemain simpanan, Damien Lim.
Ketiadaannya itu pasti dirasai dan dikhuatiri penyokong Sabah FC apabila kehadiran bekas pemain kebangsaan itu dikatakan antara punca kejayaan pasukan musim ini.
Damien Lim (kanan) sewajarnya diberikan kepercayaan penuh ketika kempen Piala Malaysia. — Facebook/Sabah FC
Tetapi, bagi segelintir penyokong setia, mereka percaya barisan kejurulatihan wajar untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Damien Lim apabila dia beraksi dengan cemerlang setiap kali diberi peluang.
Meskipun dibolosi sebanyak tiga kali dalam dua penampilan ringkasnya, pemain kelahiran Selangor itu dipercayai mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.
"Damien Lim merupakan seorang penjaga gol berkualiti. Dia cuma memerlukan minit permainan yang lebih bagi menambah keyakinan dan kebolehannya.
"Dia sangat tangkas, tetapi memerlukan lebih banyak sokongan daripada pemain pertahanan di hadapannya. Dengan erti kata lain, komunikasi yang baik antara satu sama lain," kata Jumin Parit.
"Damien Lim itu, pada saya dia ada potensi dan persembahan dia OK sahaja. Harap dia dapat diturunkan kerana dia bagus ketika ini dan semasa berada di Negeri Sembilan FC," kata Mohd Ridzuan.
"Semoga Apek (Khairul Fahmi) cepat sembuh dan saya juga berharap Damien dapat melakukan yang terbaik pada perlawanan seterusnya, iaitu ketika kejohanan Piala Malaysia," kata Jamikol Jmikol.
Sabah FC selepas ini bakal berdepan pasukan Liga Perdana, UiTM FC pada 25 atau 26 Oktober dengan pasukan Boreno pasti mengharapkan prestasi musim ini mampu diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram