Bintang muda JDT masih belum puas, mahu terus beraksi dengan skuad senior


  • Podium
  • Selasa, 18 Okt 2022

Kemampuan Feroz (depan) musim ini membuka mata penyokong bola sepak tempatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS berjaya menempah nama bersama skuad simpanan Johor Darul Takzim, pertahanan muda, Feroz Baharudin terus memasang cita-cita untuk tampil dalam pasukan utama dengan lebih kerap musim depan.

Pemain yang diturunkan dalam tiga aksi penutup musim ketika berdepan Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC itu berasa bangga apabila berjaya menembusi skuad senior Harimau Selatan.

“Peranan saya sangat besar apabila dapat beraksi dalam kesebelasan utama malam ini (Sabtu) dan terima kasih kepada semua terutamanya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang memberi peluang kepada saya.

“Alhamdulillah, kami memperoleh kemenangan dan saya bersyukur dalam tiga perlawanan yang saya main dapat buat yang terbaik," katanya, lapor laman sesawang Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Tambahnya, dia juga berasa lega apabila diberi peluang untuk menyerlahkan kebolehannya, sekali gus membolehkannya menyesuaikan diri bersama pemain pertahanan yang lain.

Pemain berusia 22 tahun itu antara nama yang mula mendapat perhatian selepas menampilkan aksi cemerlang bersama JDT II dengan pasukan itu muncul juara Liga Perdana.

311461766_2416459591850659_2997530127289378903_n

Harimau Selatan berjaya muncul sebagai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain itu, peluang yang diberi oleh pengendali, Hector Bidoglio kepadanya juga tidak disia-siakan untuk mempamerkan prestasi terbaik, terutamanya selepas ketiadaan Shane Lowry ekoran kecederaan.

Dalam masa sama, pengendali kelahiran Argentina itu juga tidak menafikan Feroz dan juga seorang lagi pemain muda, K. Daryl Sham merupakan antara pemain berkualiti yang perlu dijaga

Tambahnya, dia juga percaya kedua-dua pemain itu mempunyai masa depan cerah berdasarkan prestasi ketika ini, tetapi berpendapat mereka perlu bekerja lebih keras jika ingin terus berada dalam skuad utama.

“Mereka berdua adalah pemain yang penting yang perlu dijaga untuk kelab ini kerana bermain dengan baik setakat ini. Tetapi, jika ingin terus bermain untuk skuad utama JDT, mereka tidak boleh berhenti berusaha dan banyak benda yang masih perlu dilakukan oleh mereka.

“Mereka juga berlatih dengan baik dalam setiap latihan dan sikap ini adalah baik untuk mereka memberikan sesuatu kepada kelab nanti”, jelasnya.

JDT berjaya menjulang trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan diraikan dengan gilang-gemilang sejurus berakhir aksi terakhir menentang Sabah FC, Sabtu lalu. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram