Wak Am makin lanjut usia, penyokong idam penyerang JDT kelahiran Labuan jadi pengganti


  • Podium
  • Khamis, 20 Okt 2022

Amri Yahyah menghadiahkan sebanyak lima jaringan buat Sabah FC pada musim ini. — Facebook/Sabah FC

KETUMPULAN bahagian serangan boleh dikatakan antara punca Sabah FC mempamerkan persembahan yang turun naik pada musim ini.

Malah, kelemahan di bahagian serangan juga dikatakan faktor kegagalan Sabah FC terlepas slot automatik ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan hanya mampu menutup tirai kempen Liga Super di tangga ketiga selepas mudah dipintas Terengganu FC.

Bukti ketumpulan bahagian serangan itu dapat dibuktikan apabila penjaring terbanyak Sabah FC dihuni oleh tonggak pertahanan, Park Tae-su dengan menyumbangkan sebanyak lapan jaringan pada saingan Liga Super musim ini.

Untuk pemain di bahagian itu, hanya pemain veteran, Mohd Amri Yahyah yang menyinar jika dibandingkan dengan penyerang utama The Rhinos iaitu Jose Embalo.

Amri Yahyah merekodkan sebanyak lima jaringan pada musim ini manakala Embalo hanya mampu menyumbang satu gol untuk Sabah FC.

Dengan umur Amri Yahyah yang semakin lanjut, ia membawa kegusaran kepada penyokong sama ada pemain itu akan bermain bersama Sabah FC pada musim depan ataupun sebaliknya.

Justeru itu, penyokong menyarankan agar pihak Sabah FC cuba untuk membawa masuk penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri ke skuad The Rhinos pada musim depan.

HAZWAN

Hazwan mula menyarung jersi Harimau Selatan pada musim 2017. — Facebook/Sabah FC

Hazwan dilihat pemain yang sesuai mengganti Amri Yahyah kerana dia pernah mencatatkan pulangan gol yang memberangsangkan ketika bersama Selangor FC.

Selain itu, Hazwan pasti terbuka untuk berhijrah ke Sabah FC berikutan kekangan masa permainan dengan hanya lapan minit aksi Liga Super musim ini.

Kekurangan minit permainan yang dihadapi pemain kelahiran Labuan itu kerana persaingan sengit dari beberapa penyerang seperti Bergson Da Silva dan Syafiq Ahmad.

"Banyak saingan dia (Hazwan) di JDT. Pemain kelahiran Labuan ini boleh juga ganti tempat Amri kan. Umur baru 31...laju memang laju dia ni,” tulis penyokong Sabah, Harith Adam.

“Saya suka permainan dia ini. Kalau dapat lebih minit permainan, memang makin mantap ini. Kalau dapat main untuk Sabah bagus juga,” kongsi Pai Ulung.

Liga Super musim ini, Hazwan merekodkan satu jaringan sahaja dengan empat penampilan bersama skuad Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram