'Bukan setakat Arif Aiman dan Faisal Halim', penyokong Indonesia patut gerun 3 bintang Harimau Malaya di pentas Piala AFF


  • Podium
  • Khamis, 20 Okt 2022

Media Indonesia berpendapat bahawa Faisal Halim dan Arif Aiman merupakan bintang sensasi yang bakal melengkapkan skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang kempen Piala AFF 2022. — Facebook/Terengganu FC

AKSI cemerlang dua bintang Harimau Malaya, Arif Aiman dan Faisal Halim ternyata mencuri perhatian beberapa media bola sepak Indonesia.

Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lepas, Arif Aiman Hanapi terus membuktikan kehebatannya di posisi sayap Johor Darul Takzim (JDT) selepas muncul sebagai penyumbang penjaring gol terbanyak musim ini dengan 13 bantuan jaringan yang berjaya diperoleh.

Sejak kebelakangan ini, pemain berusia 20 tahun itu juga dilihat gemar menyerang dan melakukan beberapa percubaan ke arah gawang lawan.

Musim ini, dia berjaya mencetak tiga gol di dalam saingan liga termasuk jaringan menakjubkan menerusi sepakan percuma pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

ajdfhkjadhif

Statistik yang direkodkan Faisal dan Arif membuka mata beberapa peminat bola sepak Indonesia. Facebook/FAM

Media Indonesia juga berpendapat bahawa Faisal Halim merupakan bintang sensasi yang bakal melengkapkan skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang kempen Piala AFF 2022 kelak.

Beraksi sebagai sayap ketika bergandingan bersama penyerang import dari Ivory Coast, Tchétché Kipre, prestasi Faisal dilihat cukup-cukup memberangsangkan.

Statistik yang direkodkan Faisal turut membuka mata beberapa peminat bola sepak dari Indonesia.

Namun, penyokong Indonesia juga harus mengetahui bahawa selain kedua-dua bintang itu, terdapat tiga lagi pemain yang perlu dipandang serius pihak lawan bagi kempen Piala AFF 2022 nanti.

hrimomalaya

Darren berjaya meledak 10 gol keseluruhan dalam 20 penampilan liga. Facebook/FAM

1. Darren Lok (Penyerang)

Walaupun nama penyerang import menguasai carta penjaring terbanyak saingan domestik musim ini, namun tumpuan kita sudah tentu untuk melihat nama penyerang tempatan terselit sekali dalam senarai tersebut.

Darren Lok merupakan penyerang berbisa Petaling Jaya City FC (PJ City) yang berdarah kacukan England-Malaysia.

Penyerang kebangsaan ini boleh dinobatkan sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Super 2022 kerana dia berjaya meledak 10 gol keseluruhan dalam 20 penampilan liga.

Pemain berusia 31 tahun ini bukan sahaja berbisa di hadapan gol, dia juga berjaya menyumbang dua bantuan gol buat pasukannya.

Darren berjaya membantu pasukan kebangsaan layak ke saingan pusingan akhir Piala Asia 2023 dan melangkah ke pentas akhir Piala Raja Thailand pada bulan lalu.

Malaysia3-5

Brendan dianggap pemain tengah terbaik Liga Super musim ini apabila muncul pemain tengah ketiga terbaik dalam menghasilkan gol. Facebook/FAM

2. Brendan Gan (Pemain Tengah)

Pernah dilabel sebagai pemain “tall, bright and handsome”, Brendan Gan semakin digilai penyokong lagi-lagi pada kejohanan Piala Raja Thailand yang juga penampilan pertamanya sejak 2019.

Kali terakhir pemain berusia 34 tahun itu beraksi untuk skuad kebangsaan adalah ketika saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kemunculan kembali Brendan bersama Harimau Malaya sememangnya memberi kesan dengan posisinya sebagai pemain tengah jelas membantu serangan dan pertahanan skuad di bawah Pan-gon.

Kehadiran pemain kacukan Malaysia-Australia itu disukai Pan-gon apabila jurulatih berasal dari Korea itu menurunkan Brendan sebagai kesebelasan utama dalam dua perlawanan kejohanan itu.

Brendan boleh dianggap pemain tengah terbaik Liga Super musim ini apabila dia muncul pemain tengah ketiga terbaik dalam menghasilkan gol iaitu sebanyak lima jaringan gol dalam 16 perlawanan.

1515567

Zhafri berjaya menjaringkan empat gol dan tiga bantuan gol dalam 17 perlawanan dalam Liga Super musim ini. Facebook/FAM

3. Zhafri Yahya (Pemain Tengah)

Pemain tengah pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Zhafri Yahya dijangka memainkan peranan yang cukup penting dalam perlawanan akhir Piala AFC 2022 pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Zhafri kini menjadi tunjang utama The City Boys sejak musim lalu apabila sering memperagakan persembahan yang cukup konsisten setiap kali diturunkan.

Bukan itu sahaja, kemampuannya untuk beraksi di pelbagai posisi termasuklah sebagai pemain sayap membantu KL City menjuarai Piala Malaysia 2021 dengan menewaskan JDT.

Musim ini, dia sekali lagi membantu skuad kendalian Bojan Hodak melangkah ke pentas akhir Piala AFC dengan menewaskan FC Sogdiana Jizzakh dalam penentuan sepakan penalti.

Pemain berusia 28 tahun ini berjaya menjaringkan empat gol dan tiga bantuan gol dalam 17 perlawanan dalam Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram