Selain Nafuzi dan Faisal, seorang lagi tonggak Sang Penyu perlu kekal musim depan


  • Podium
  • Rabu, 19 Okt 2022

Status naib johan membolehkan Terengganu FC layak ke saingan Piala AFC musim depan. — Facebook/Terengganu FC

"KEKALKAN ketua jurulatih, Nafuzi Zain, Faisal Halim (Mickey) dan seorang lagi pemain, Tchetche Kipre untuk tahun depan, jauhkan diri daripada 'tangan ghaib'" kata Izz Bundle.

"Kipre tu bolehlah kekal untuk semusim lagi, tetapi perlu perhati juga prestasi ketika Piala Malaysia nanti. Kalau hebat, bolehlah dikekalkan lagi," kata Muhammad Sharizan.

"Selain Faisal Halim, Kipre boleh kekal rasanya ni," kata Jayfie Ramzione.

Itulah antara laungan penyokong Terengganu FC yang mengharapkan kapten pasukan kelahiran Ivory Coast itu kekal bersama skuad Sang Penyu bagi saingan liga musim depan.

Selepas mengalami pembukaan musim yang sedikit mengecewakan, segelintir penyokong mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Kipre dengan memaksa pihak pengurusan dan kejurulatihan menggugurkannya daripada kesebelasan utama.

Bagaimanapun, sikap tidak pernah putus asa penyerang berbisa itu jelas membuahkan hasil apabila dia muncul sebagai salah satu penjaring terbanyak dengan 13 gol dalam 14 perlawanan liga.

309624257_1572340099863332_7441716957049813501_n

Tchetche Kipre merupakan salah satu tonggak utama Sang Penyu musim ini. Facebook/Terengganu FC

Kemampuan untuk mengelirukan benteng pertahanan lawan dengan gerak-geri licik menjadi salah satu aset utama sehingga berjaya membantu Terengganu FC menamatkan kempen di tangga kedua Liga Super.

Selain itu, majoriti peminat tegar Sang Penyu mula berasakan gandingannya bersama Faisal Halim dan rakan sepasukan yang lain merupakan kunci utama dalam pasukan itu mudah 'meratah' pasukan lawan.

Tidak cukup dengan itu, kemampuan Kipre untuk mencetak satu gol ketika pertembungan Piala FA dengan Johor Darul Takzim (JDT) melonjakkan lagi namanya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Namun, dengan usianya yang mula mencecah 34 tahun, terdapat khabar angin mengatakan Kipre wajar untuk digantikan, apatah lagi dengan mereka bakal bersaing di pentas Asia.

Kekurangan penyudah tempatan yang mampu dibawa masuk ketika jendela perpindahan pasti membuka jalan buat pihak pengurusan mencari seorang pengganti berkaliber dengan status import.

Tetapi, tidak boleh dinafikan bahawa cadangan itu pastinya tidak diterima sebahagian besar penyokong Terengganu FC yang mendahagakan lebih banyak sumbangan pemain itu untuk musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram