Seluruh Kedah berkabung kalah 5 kali berturut-turut, Azraai Khor syak ada masalah dalaman


  • Podium
  • Ahad, 16 Okt 2022

Antara detik-detik perlawanan KDA FC menentang Terengganu. — Facebook/KDA FC

BUMI Kedah dibasihi air mata selepas kekalahan 1-3 Kedah Darul Aman (KDA) FC di tangan Terengganu FC (TFC) dalam aksi terakhir Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu.

Hanya mampu menembusi gawang lawan menerusi jaringan dari pemain import dari Ivory Coast, Dechi Marcel pada minit ke-87 tidak cukup untuk memberi Kedah tiga mata dan sekali gus gagal membantu mereka memperbaiki kedudukan.

Lebih menambah duka kepada penyokong apabila Kedah akhiri kempen liga super musim ini dengan kekalahan lima perlawanan berturut-turut.

Musim ini merupakan kali kedua Sang Kenari tewas lima berturut-turut dan menduduki tangga kelapan merupakan kedudukan terendah selepas 2016.

Turut bersimpati dengan nasib Kedah pada musim ini ialah bekas jurulatih legenda skuad Sang Kenari, Azraai Khor, dia berpendapat kegagalan membentuk pasukan merupakan faktor persembahan Kedah tidak cemerlang.

KEDAH ISI

Kedah mendapatkan gol saguhati melalui Dechi Marcel pada minit ke-88. — Facebook/KDA FC

“Sedih pasukan Kedah akhiri Liga super dengan kekalahan lima kali berturut-turut. Saya sebagai bekas pemain dan mantan jurulatih Kedah memang sedih. Hari ini semua penyokong, berkabung.

“Kalau ikut secara keseluruhannya dari awal pembentukan pasukan dah gagal, Jika tak gagal, Kedah dah duduk tempat kedua dalam Liga Super,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, kegagalan Kedah boleh dilihat dengan pembelian import, pihak pengurusan dan masalah kecederaan yang dialami beberapa pemain.

Jelasnya, jika benar Kedah ingin membuat perubahan pada musim depan, rombakan keseluruhan perlu dilakukan termasuk penukaran jurulatih.

AIDIL

Prestasi turun naik Kedah musim ini membuatkan ramai menggesa agar posisi Aidil Sharin diganti dengan pengendali baharu. — Facebook/KDA FC

“Jika betul-betul pemilik nak perubahan, kena buat rombakan semua termasuk jurulatih. Pengurusan juga perlu diubah.

“Kalau ikut khabar angin katanya tukar Nafuzi. Namun kalau bawa jurulatih mana pun tapi pengurusan tak membantu, semua akan alami nasib macam Aidil,” tambahnya.

Pengendali berusia 69 tahun itu turut menegaskan bahawa mana-mana pihak tidak boleh meletakkan semua kesalahan ke atas ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Hal ini kerana, tanggungjawab itu perlu dipikul oleh keseluruhan pasukan termasuk pihak pengurusan KDA FC.

“Bukan salah Aidil. Bagi saya kegagalan perlu dipikul oleh keseluruhan pengurusan.

“Mungkin masalah dalaman ada berlaku. Jika tiada angin, macam mana pokok bergoyang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram