Terengganu FC raih slot kedua Piala AFC


  • Podium
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Pemain Terengganu FC Tchetche Hermann Brice Kipre (dua, kanan) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang pasukan Kedah FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman pada Sabtu. — Bernama

TERENGGANU FC (TFC) muncul sebagai pemilik slot kedua Piala AFC 2023 setelah mengesahkan kedudukannya sebagai naib juara Liga Super 2022 apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 pada Sabtu.

Dua gol skuad penyu disumbangkan oleh penyerang import TFC, Kipre Tchetche dan satu lagi gol disumbat penyerang sensasi, Faisal Halim sekali gus membolehkan mereka mengumpul keseluruhan 44 mata liga.

Nasib berbeza bagi pasukan Sabah FC yang kelihatan tempang tanpa kehadiran pemain import Korea mereka, Park Tae-su apabila tewas 0-3 di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Kegagalan Sabah untuk meraih kemenangan telah menyebabkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berakhir di tangga ketiga liga dengan keseluruhan 42 mata.

Dengan perubahan pada format kelayakan Piala AFC 2023 yang baru diumumkan, Sabah FC hanya layak untuk ke saingan Asia tersebut sekiranya JDT merangkul kejuaraan Piala Malaysia nanti.

Senasib dengan Sabah, Negeri Sembilan FC (NSFC) turut akur setelah gagal mengatasi saingan Sri Pahang dan kecundang 0-2 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.

NSFC menamatkan saingan Liga Super 2022 di tempat keempat dengan keseluruhan mata 41 mata.

Sebagai rekod, pasukan Harimau Selatan yang mengesahkan kejuaran Liga Super kesembilan berturut-turut pada 1 Oktober lalu kekal jauh di hadapan dengan 56 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram