'Terlalu lambat', penyokong TFC desak bincang nasib Nafuzi secepat mungkin


  • Podium
  • Selasa, 18 Okt 2022

Masa depan Nafuzi sebagai pengendali Terengganu FC masih samar-samar ketika ini. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS membawa Terengganu FC ke pentas Asia pada musim akan datang, nasib ketua jurulatih, Nafuzi Zain masih tidak menentu dengan pihak atasan enggan memberi kata putus.

Kredibiliti dan keupayaan jurulatih muda itu pastinya tidak patut dipandang rendah pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kelantan FC dilihat sebagai destinasi ideal buatnya.

Tidak cukup dengan itu, kemampuan Nafuzi untuk mengendalikan sebuah pasukan tanpa perbelanjaan besar menjadi satu tarikan untuk pengendali kelahiran Pantai Timur itu menerajui sesebuah pasukan.

Sabtu lalu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan mengenai masa depan Nafuzi itu bakal dibuat selepas satu sesi mesyuarat diadakan 25 Oktober ini.

Perkara itu mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi penyokong tegar Terengganu FC yang melihat tindakan itu terlalu lewat.

Seorang penyokong tegar skuad Sang Penyu, Piang Shankly berasakan pihak pentabiran tidak sepatutnya berlengah-lengah untuk membuat keputusan mengenai status ketua jurulatih itu.

311000966_1573520363078639_6800992862718211579_n

Penyokong mula meluahkan kekecewaan terhadap pihak pengurusan Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Lebih malang, pihak pengurusan hanya akan bermesyuarat pada 25 Oktober untuk tentukan ketua jurulatih untuk musim depan. Pada saya, itu terlalu lambat.

"Pasukan-pasukan lain bukan setakat sudah menawarkan kontrak untuk barisan kejurulatihan, tetapi juga pemain. Apabila didesak beberapa bulan lepas agar segera membuat keputusan mengenai pasukan 2023, diberinya alasan kelayakan ke Piala AFC sahaja," tulisnya.

Penyokong tersebut turut berpendapat peluang untuk menyaksikan Nafuzi sebagai pengendali musim depan adalah tipis, sekali gus berharap agar lebih ramai menerima hakikat tersebut.

Selain itu, dia turut mendesak agar satu keputusan dan rundingan lebih pantas diadakan agar hala tuju naib juara Liga Super itu dapat diketahui kelak.

Perkara itu disokong seorang lagi penyokong lain, Ahmad Zamani Muhammad yang menganggap segala tindakan badan pengurusan Terengganu FC sudah terlalu lewat.

"Kalau lambat tawarkan kontrak, lebih baik jurulatih ambil sahaja tawaran daripada pasukan lain, mereka pun ada keluarga yang perlu ditanggung.

Fikirlah masa depan, pihak pengurusan yang sangat lambat. Patutnya, ketika kempen Liga Super belum tamat lagi, kontrak baharu boleh ditawarkan sebagai sumber motivasi," katanya.

Bagi Rid Zuan pula, Presiden PBSNT itu perlu bertindak lebih pantas apabila dia percaya pasukan itu ketika ini berada di tahap terbaik.

"Dr Samsuri, tolonglah buat satu keputusan segera dengan mengekalkan Nafuzi kerana pasukan sedang beraksi dengan cukup baik, kenapa nak cari yang baharu lagi?" soalnya ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram