TERENGGANU FC (TFC) sah mendapat slot automatik pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) 2023 selepas menewaskan Kedah 3-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Sabtu.
Kemenangan itu juga sekali gus menjadikan TFC dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2022 dan berjaya mengumpul 44 mata selepas 22 perlawanan Liga Super musim ini.
Kejayaan ke Asia berjaya dihasilkan menerusi dua gol skuad Penyu hasil sumbangan penyerang import TFC, Kipre Tchetche dan satu lagi gol disumbat penyerang lincah, Faisal Halim.
Susulan misi ke Asia berjaya dengan sentuhan magis ketua jurulatih, Nafuzi Zain, laungan #NafuziStay terus membanjiri laman media sosial rasmi TFC yang menuntut agar pihak pengurusan menyambung kontrak pengendali itu.
Nafuzi berjaya membawa TFC ke Piala Asia 2023. — Facebook/TFC
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan bahawa masa depan Nafuzi akan diketahui pada 25 Oktober 2022.
Selain Nafuzi yang diharap kekal bersama skuad Penyu pada musim depan, penyokong juga berat hati untuk melepaskan Faisal ke tangan pasukan lain.
Walaupun pelbagai tawaran diterima pemain berusia 24 tahun itu, penyokong masih berharap pihak pengurusan menyambung kontrak Faisal.
Bagaimanapun, selepas perlawanan menentang Sang Kenari, Faisal sekali lagi memberi bayangan mengenai keputusannya untuk meninggalkan Terengganu.
Tangkap layar hantaran Faisal. — Instagram
“Alhamdulillah. Maka kini tamatlah Liga Super tahun 2022. Terengganu road to Asia 2023. Dalam gembira ada kesedihan. Why? Why? Why? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Anda ada jawapannya. Kita jumpa di Piala Malaysia,” tulisnya.
Kenyataan Faisal itu membuatkan penyokong TFC makin tidak sabar dengan keputusan muktamad pemain kelahiran Pulau Pinang itu sama ada kekal atau berhijrah ke pasukan lain.
Untuk rekod, Faisal pernah menyatakan dirinya menerima beberapa tawaran dari kelab lain selain TFC dan antaranya ialah Sri Pahang FC serta Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram