'Kita buat silap, silap, silap', Aidil dedah punca Sang Kenari sukar harungi Liga Super musim ini


  • Podium
  • Ahad, 16 Okt 2022

Aksi KDA FC ketika bertemu Terengganu FC dalam saingan akhir Liga Super pada Sabtu. — Facebook

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengakui kesilapan individu menjadi antara masalah utama sehingga menyebabkan pasukan sukar mengharungi perlawanan Liga Super musim ini.

Beliau berkata, meskipun pemain berulang kali diingat untuk tidak melakukan kesilapan mudah yang menguntungkan pasukan lawan, situasi itu masih lagi berlaku.

"Semuanya disebabkan kecuaian dan kesilapan individu...musim ini benda yang sama kita buat silap, silap, silap. Sepanjang musim ini kita cuba belajar tidak melakukan kesilapan tapi kita terus melakukannya sehingga pasukan lawan mendapat gol.

"Pada perlawanan (malam) tadi kita dapat melihat pada babak pertama perlawanan, minit keempat kita dah bagi gol kepada Terengganu FC (TFC), gol kedua pun sama (disebabkan kesilapan individu),” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC tewas 3-1 kepada TFC di Stadium Darul Aman malam Sabtu.

Bermain di hadapan penyokong sendiri, tuan rumah dikejutkan seawal minit keempat menerusi jaringan pemain sayap lincah Faisal Abdul Halim, disusuli rembatan deras penyerang import Tchetche Kipre, untuk gol kedua dan ketiga pasukannya pada minit ke-15 dan minit ke-73.

Tuan rumah bagaimanapun memperoleh gol saguhati menerusi pemain import Dechi Marcel, pada minit ke-88 dan dengan kejayaan TFC itu, skuad ‘Sang Penyu’ mengesahkan slot ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 selepas bergelar naib juara Liga Super 2022.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Aidil Sharin mengakui pasukannya sukar menembusi kubu TFC berikutan ketiadaan tonggak utama pasukan termasuk penyerang import Ronald Ngah Wanja yang mengalami kecederaan ketika sesi latihan sehari sebelum perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, dengan kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut telah mencerahkan peluang pasukan untuk ke peringkat akhir Piala Malaysia 2022 selain berterima kasih kepada pemain yang sentiasa memberi mutu permainan terbaik sehingga membolehkan pasukan layak menyertai Piala AFC.

"Semua pemain telah banyak membantu pasukan...kita tengah berada dalam situasi yang baik dan ini saya rasa bangga dengan pemain, bukan senang nak cipta rekod menang sembilan perlawanan berturut-turut dan ia luar biasa," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram