Penyokong Tok Gajah optimis ‘pijak’ JDT kini tempang tanpa Bergson da Silva


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Bergson (terbaring) ketika perlawanan menentang Sri Pahang pada Mei lalu. — MFL

TIGA mata berharga dalam genggaman Johor Darul Takzim (JDT) setelah membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 dalam aksi Liga Super pada Selasa.

Namun, perkara yang mencuri perhatian dalam perlawanan itu adalah apabila penyerang import JDT, Bergson da Silva dilayangkan kad merah, sebelum tamat separuh masa pertama selepas pengadil mendapati berlaku kekasaran ke atas Rodney Calvin.

Layangan kad merah ke atas Bergson itu membuatkan jentera serangan JDT seakan-akan tempang dalam menghadapi baki-baki musim, lebih-lebih lagi apabila mereka bakal berdepan ujian getir.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu dijadualkan bakal berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Jumaat bagi berdepan pasukan yang berada di tangga ketujuh, Sri Pahang FC.

Ketiadaan penyerang kelahiran Brazil itu pasti dirasai, lebih-lebih lagi sumbangannya sepanjang musim berjaya memacu skuad Harimau Selatan, dalam mengumpul trofi Liga Super kali kesembilan berturut-turut.

Mengulas mengenai perlawanan pada Jumaat ini, seorang penyokong Pahang, Panthera Tigris Jacksoni mendakwa ada yang berpendapat bahawa skuad Tok Gajah itu boleh menang menentang Harimau Selatan selepas ketiadaan Bergson.

"Persoalan di sini, waktu Bergson ada atas padang hari tu, Pahang kalah ke tidak dengan JDT?

"Kalau zaman Mahmoud Zatara saudagar unta pun JDT tak boleh menang dengan kita, inikan pula zaman Titi Rodriquez yang dihantar kelabnya ke Pahang kerana pengurusan kelab di Colombia sudah tidak sanggup lagi membayar bonus jaringan kepada pemain ini.

"Asal main je dia bahan score dua gol, mana ada duit kelab nak bayar bonus zaman pandemik gini?" soalnya di laman Facebook.

Dia turut meramalkan kemenangan 4-0 Sri Pahang ke atas JDT dalam perlawanan pada Jumaat ini.

JDT merupakan Juara Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut, dengan musim ini mengumpul 49 mata, serta memperoleh 15 kemenangan daripada 19 perlawanan.

Sementara itu, Pahang berada di tangga ketujuh apabila mengumpul 24 mata, selain memperoleh tujuh kemenangan daripada 19 perlawanan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Mei lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram