SELEPAS menundukkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Johor Darul Takzim (JDT) akan bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk menghadapi cabaran daripada Sri Pahang FC.
Kemenangan selesa 3-1 yang dicatatkan pada Selasa memastikan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan kekal selepas menghadapi 19 perlawanan Liga Super.
Meskipun sudah ditabal sebagai juara, JDT pastinya hendak menamatkan musim ini dengan bergaya selepas hanya gagal mencatatkan empat keputusan seri setakat ini.
Oleh itu, pengendali pasukan, Hector Bidoglio pastinya berhasrat untuk menurunkan barisan pemain terbaik ketika berdepan skuad Tok Gajah yang ketika ini berada di tangga ketujuh liga.
Namun, usaha itu pasti sedikit sukar apabila penyerang, Bergson da Silva dilayangkan kad merah di Stadium Darul Aman selepas didapati melakukan aksi ganas ke atas pemain KDA FC, Rodney Calvin.
Kehilangan penjaring terbanyak Liga Super itu semestinya merencatkan jentera serangan JDT dalam pertembungan akan datang selepas sumbangannya sukar untuk digantikan.
Namun, persoalannya, sampai bilakah Bergson tidak akan dibenarkan untuk turun bersama skuad selepas kelakuan kasar yang dilakukan itu seakan-akan bakal dikenakan hukuman yang lama.
Bagi bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah, dia melihat terdapat kemungkinan bahawa penggantungan yang bakal dihadapi Bergson adalah lebih daripada satu perlawanan.
"Kalau dia menumbuk dengan sengaja, kecuali kad kuning kedua, memang dia tidak boleh bermain (dalam satu perlawanan).
"Tetapi, jika terus dilayangkan kad merah kerana tumbuk dengan sengaja, saya tidak pastilah berapa lama dia akan digantung, tapi lebih daripada satulah," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, penggantungan itu masih bergantung ke atas timbang tara daripada jawatankuasa badan induk bola sepak negara itu dengan tempoh itu masih boleh disingkatkan.
"Untuk rayuan pula, mungkin pihak pengurusan JDT hendak rayu ke atas tempoh penggantungan sahaja, mereka tidak perlu menghadapi prosedur yang rumit.
"Tetapi, mungkin untuk tindakan disiplin, kerana kita nampak dia menumbuk dengan ada gambar apa semua, mungkin ia akan jadi satu masalah," katanya.
Kedua-dua pasukan terikat dengan skor 2-2 ketika pertemuan awal musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Sri Pahang ketika ini dalam usaha menambah baik kedudukan mereka dalam liga selepas mengharungi satu kempen yang terumbang-ambing sejak awal lagi.
Mereka juga pastinya bersungguh-sungguh dalam pertembungan tersebut selepas mencatatkan keputusan seri ketika bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim Mei lalu.
Bagi JDT pula, skuad tersebut akan sekali lagi berdepan KDA FC selepas bertemu Sri Pahang FC sebelum menamatkan saingan liga dengan pertemuan bersama Sabah FC.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai mutu pengadilan dalam Liga Malaysia, Kamarudin menjelaskan masih terdapat banyak penambah baikan yang perlu dilakukan FAM.
"Mutu pengadilan ni, susah untuk dicakap. Memang masih berada dalam keadaan yang mengecewakan kerana ada banyak sangat kes-kes yang mengundang kontroversi.
"Tak tahulah, sebelum ini, salah satu cara untuk memperbaiki kualiti pengadilan adalah apabila kita panggil pengadil dari luar untuk mengadili perlawanan liga ni," katanya.
Namun, perkara itu masih belum dapat mengelakkan perkara sebegitu berulang apabila terdapat persoalan mengenai pengadil daripada luar negara itu sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram