Dilabel import paling cemerlang, penyokong Terengganu tagih keringat Papa lebih lama lagi


  • Podium
  • Rabu, 05 Okt 2022

Diakite merupakan salah satu pemain yang kerap diturunkan sepanjang musim. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS menghadapi 19 perlawanan Liga Super, Terengganu FC mencatatkan rekod cemerlang di bahagian pertahanan apabila hanya dibolosi sebanyak 16 kali.

Dalam kalangan kelab Liga Super, hanya Johor Darul Takzim (JDT) yang mempunyai jumlah dibolosi lebih sedikit, sekali gus menunjukkan keutuhan benteng skuad Sang Penyu.

Perkara itu dilihat sebagai kunci kepada kejayaan mereka yang ketika ini sedang berusaha keras mengejar slot kelayakan ke Piala AFC selepas sudah bertahun-tahun gagal beraksi dalam pertandingan itu.

Kehadiran pemain-pemain kental di bahagian pertahanan seperti Azam Azmi Murad dan Arif Fadzilah sering diberikan penghargaan daripada penyokong menerusi persembahan konsisten sepanjang musim.

Namun, di sebalik sorakan itu, masih terdapat segelintir penyokong yang berasakan sumbangan pemain Senegal, Pape Diakite tidak kurang hebatnya berbanding rakan sepasukannya.

Lebih mesra disapa Papa, pemain ini menyertai skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan hujung 2021 bagi membantu ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengukuhkan lagi benteng pertahanan.

Meskipun memulakan karier bersama Terengganu FC dengan sukar, dia tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pemain import yang berpotensi.

maxresdefault

Kad merah yang diterima Diakite menyebabkan penyokong sangsi akan kemampuannya.

Reputasinya turut diburukkan apabila dia pernah dilayangkan kad merah ketika peringkat awal Piala FA, yang turut mendatangkan persoalan daripada penyokong akan kemampuannya.

Tetapi, menjelang akhir musim, Diakite mula menampilkan prestasi lebih baik menerusi kemampuan untuk membaca hantaran serta menggunakan pengalamannya bagi mengelakkan segala percubaan pihak lawan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ramai berharap kontraknya disambung dalam usaha mengelak percubaan kelab-kelab lain mendapatkan khidmatnya pada musim akan datang.

Seorang penyokong, Iqie Muhammad berkata, gandingan Diakite bersama rakan sepasukan, Shahrul Nizam adalah benteng pertahanan yang cukup baik sepanjang musim.

"Terbaik gabungan Diakite dan Nizam dengan digabung pula pertahanan sayap, Alif Zakaria dan Azam Azmi. Diharapkan pasukan ini terus fokus untuk aksi seterusnya.

"Misi layak ke pentas Asia dan jika Terengganu layak, ini merupakan satu pengalaman berharga buat pemain muda Sang Penyu, sekali gus dapat menaikkan lagi kemampuan Harimau Malaya," katanya.

310325798_1561950540902288_1514721856055231706_n

Penyokong Terengganu FC mula berharap Diakite dikekalkan dalam skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Sokongan turut diberikan Fazli Nizam Ab Aziz yang berasakan Diakite merupakan salah satu pemain import terbaik dimiliki pasukan itu dalam setiap posisi.

"Kekalkan Diakite kerana selalunya, apabila Terengganu mencari seorang pemain import, mereka sememangnya tidak seperti apa yang diharapkan dan dia paling menyerlah setakat ini," katanya.

Bagi Mohd Jefri Hisham, rekod cemerlang skuad Sang Penyu adalah perkara yang cemerlang serta menyokong pemain berusia 29 tahun itu wajar dikekalkan untuk musim depan.

"Hanya dibolosi sebanyak 16 kali dalam 19 perlawanan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan berbanding musim-musim sebelum ini. Pape boleh disambung semusim lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram