PERLAWANAN sengit antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya membawa pulang tiga mata penuh.
Selepas skuad Sang Kenari mendahului menerusi jaringan Ronald Ngah Wanja, JDT tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Bergson da Silva tenang menyudahkan hantaran Afiq Fazail.
Pada separuh masa kedua pula, giliran pemain import, Leandro Velazquez pula menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas bekas penyerang KDA FC, Syafiq Ahmad dikasari.
Pada minit ke-79, Afiq Fazail sekali lagi mencuri perhatian dengan mengambil peluang di atas kelekaan benteng pertahanan tuan rumah, sekali gus mengesahkan kemenangan buat Hector Bidoglio.
Namun, perkara yang mencuri perhatian dalam perlawanan itu apabila Bergson dilayangkan kad merah sebelum tamat separuh masa pertama selepas pengadil mendapati berlaku kekasaran ke atas Rodney Calvin.
Perkara itu mengundang pelbagai respons peminat tegar bola sepak tempatan yang melihat kelakuan penyerang kelahiran Brazil itu mampu menjejaskan gerak-geri Harimau Selatan.
Keputusan tersebut jelas mendatangkan kegembiraan sementara buat ribuan penyokong KDA FC yang membanjiri Stadium Darul Aman meskipun anak-anak buah Aidil Sharin Sahak gagal memanfaatkan kelebihan itu.
Pengadil perlawanan, Hamdan Awang melayangkan kad merah kepada Bergson da Silva.
Tetapi, di sebalik kegembiraan yang dirasai penyokong Hijau Kuning, ada juga peminat fanatik pasukan lain yang berasakan layangan kad merah itu adalah satu kelebihan apabila bertemu JDT kelak.
'Mereka' di sini adalah penyokong Sri Pahang FC yang melihat penggantungan bakal dihadapi Bergson dalam pertemuan selepas ini memberi sedikit sinar harapan untuk meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam saingan liga.
Meskipun menghadapi musim yang sukar, skuad Tok Gajah mempunyai semangat berbeza apabila pasukan itu baru-baru ini mencatatkan kejayaan ketika bertemu Sarawak United.
Selain itu, senggang masa yang dimiliki anak-anak buah Datuk Dollah Salleh memberi peluang untuk mereka berehat serta mendapatkan tahap kecergasan optimum.
Menerusi tinjauan di media sosial, perkara itu jelas membanjiri ruangan komen dengan rata-rata berasakan Sri Pahang mampu melakarkan kemenangan pada Jumaat.
"Pada 7 Oktober nanti, JDT akan datang ke Stadium Darul Makmur untuk berdepan Sri Pahang, Bergson dan Shane Lowry seperti tidak dapat diturunkan. Kita boleh menang dan memecahkan rekod tanpa kalah JDT," kata Khai Riey.
"Kelebihan kepada Sri Pahang FC kerana Bergson tidak akan dapat diturunkan kerana dilayangkan kad merah dan digantung perlawanan selepas ini," kata Hadi Hashim.
"Sengaja Bergson mahu diberikan kad merah kerana tidak mahu berdepan penjaga gol, Mamadou Samassa yang pernah bermain di pentas Eropah sebelum ini," kata Fareed Izhar.
Sri Pahang ketika ini berada di kedudukan ketujuh dan masih berpeluang untuk mengejar KDA FC yang hanya dibezakan tiga mata, tetapi mempunyai perbezaan gol buruk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram