KELAB bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan pemain pertahanan import mereka, Shane Lowry terpaksa berehat panjang akibat kecederaan patah siku ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Selasa.
Johor Southern Tigers (JST) menerusi satu kenyataan rasmi di Facebook berkata, pemain dari Australia itu dijadualkan menjalani pembedahan pada Rabu dan bakal terlepas aksi Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur pada Jumaat (8 Oktober 2022).
“Kelab JDT mendoakan Shane Lowry agar segera sembuh ekoran patah siku akibat perlanggaran pada perlawanan menentang KDA FC.
“Dia akan menjalani pembedahan di Johor Bahru hari ini (Rabu). Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda, Shane. Semoga lekas sembuh!,” katanya pada Rabu.
Dalam aksi pada Selasa di Satdium Darul Aman, Lowry mengalami kecederaan pada minit ke-63 selepas berlanggar dengan pemain Kedah, Al-Hafiz Harun yang menyaksikan dia terpaksa digantikan dengan Aidil Zafuan.
Ketiadaan pemain Australia itu bagaimanapun tidak menghalang JDT untuk melakar kemenangan 3-1 ke atas KDA dan mengekalkan rekod tanpa dalam saingan liga kalah sepanjang musim ini.
Lowry menjalani pembedahan akibat patah siku pada Rabu. — Instagram
Terdahulu, Harimau Selatan terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Bergson Da Silva dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama apabila dia menumbuk pertahanan KDA, Rodney Celvin.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memastikan JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 19 perlawanan setakat ini.
Ketiadaan Lowry bagaimanapun mungkin tidak menjejaskan barisan pertahanan Harimau Selatan kerana mereka memiliki pemain berkualiti di posisi itu seperti Jordi Amat, Carli De Murga dan Shahrul Saad.
JDT juga mungkin boleh menggunakan khidmat pertahanan JDT II, Daniel Ting dan Junior Eldstal dalam perlawanan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram