'Lepas offside, penalti ada jual di Kelana Jaya', Sanusi ucap tahniah JDT tewaskan Kedah


  • Podium
  • Selasa, 04 Okt 2022

Harimau Selatan terus megah dengan rekod tanpa kalah selepas meledak tiga gol untuk mengecewakan Sang Kenari.

KEDAH Darul Aman (KDA FC) yang turun dengan keghairahan bagi mengejar mata Liga Super terpaksa berputih mata selepas tewas dengan juara sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi di Stadium Darul Aman, pada Selasa.

Meskipun berjaya merobek gawang JDT di awal permainan menerusi gol daripada penyerang KDA FC, Ronald Ngah Wanja pada minit ke-13, Harimau Selatan terus megah dengan rekod tanpa kalah selepas meledak tiga gol untuk mengecewakan Sang Kenari.

wanja 2

Ronald Ngah Wanja merobek gawang JDT di awal minit permainan pertama. — Gambar Facebook/KDAFC

Penyerang terbanyak Liga Super, Bergson da Silva menjaringkan gol pertama JDT untuk menyamakan kedudukan dengan Kedah pada minit ke-36.

Sebelum tiupan wisel penamat babak pertama perlawanan, berlaku insiden kekecohan apabila terjadi pertembungan antara Bergson dan Rodney Celvin yang menyaksikan pemain itu mengasari Rodney dengan menumbuknya dari belakang.

Insiden itu mengakibatkan Bergson dilayangkan kad merah dan tidak dapat meneruskan perlawanan pada babak kedua perlawanan.

bergson

Bergson dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain KDAFC, Rodney Celvin — Gambar Facebook/JohorSouthernTigers

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Leandro menggandakan jaringan pada minit ke-60 selepas menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan kepada JDT susulan kekasaran pemain Kedah terhadap penyerang Harimau Selatan, Syafiq Ahmad.

Meskipun bermain dengan hanya 10 pemain, JDT terus bergaya meletakkan kedudukan Harimau Selatan di hadapan menerusi rembatan Afiq Fazail hasil hantaran pemain sayap lincah, Arif Aiman pada minit ke-80.

Rata-rata penyokong JDT bergembira dengan aksi yang ditunjukkan barisan pemain di bawah bimbingan Hector Bidoglio meskipun perlu beraksi dengan 10 orang.

leandro

Leandro menggandakan jaringan pada minit ke-60 selepas menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan kepada JDT. — Gambar Facebook/JohorSouthernTigers

"Kasihan tengok Kedah...11 lawan 10 pun tak boleh nak score. Lain kali buat latihan tu betul-betul. Jangan terlampau yakin sangat. Surrender awal-awal kan senang. Jangan 'koyak' ya boss," kata seorang penyokong, Encik Azly di Facebook Johor Southern Tigers.

Sementara itu, menjengah ke laman Facebook penyokong The Red Eagle - Helang Merah, para penyokong Kedah turut menyatakan kekecewaan kepada pasukan kerana gagal memanfaatkan peluang bermain menentang 10 pemain.

"Team kita (Kedah) terus 'ceroiii'...habuan laaaa," komen Fai Zool.

"Pi (pegi) training dalam bendang la ajak Nusi (Penaung KDA FC, Muhammad Sanusi Md Nor) sekali. Main lawan dengan 10 orang tapi duduk bertahan saja," komen Shah Rul pula.

"Tahniah JDT! Memang layak jadi juara, buh gol banyak-banyak lagi. Ajaq (ajar) Kedah cara main bola. 11 lawan 10 pun ke laut...hangit," luah Jan Zizan.

Dalam pada itu, Sanusi dalam satu hantaran di Facebook turut mengucapkan tahniah atas kejayaan JDT membelasah KDA FC.

"Tahniah JDT yang menang menentang KDA FC malam ini. Tahniah juga pemain dan penyokong KDA FC yang telah memberi komitmen terbaik.

"Kalah takpa jangan koyak. Lepas off-side dan dapat penalti dalam bola sepak memang ada juai (jual) di kedai tepi jalan di Kelana Jaya," tulisnya.

JDT melengkapkan kejuaraan Liga Super dengan 49 mata, jauh meninggalkan pasukan lain dalam Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram