Bakal pulang ke negeri kelahiran, 2 pertahanan JDT bakal mantapkan skuad Lim Teong Kim?


  • Podium
  • Rabu, 05 Okt 2022

Pasukan Perak mengharapkan magis Lim Teong Kim untuk bantu The Bos Gaurus untuk bangkit semula. — Facebook/ Perak FC

DENGAN jendela perpindahan semakin hampir dibuka, khabar angin juga bertiup kencang mengenai nasib pemain yang akan bertukar angin pada saingan liga musim hadapan.

Terbaharu, penyokong bola sepak rancak berteka-teki mengenai identiti pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang dilaporkan akan kembali berbakti kepada tanah kelahiran iaitu Perak.

Ini susulan pendedahan sumber yang mendakwa seorang pemain pertahanan JDT akan berpindah untuk berada di bawah kendalian Lim Teong Kim pada saingan akan datang.

Semakan Majoriti mendapati dua pemain pertahanan JDT berpotensi menjadi calon sekiranya diselidik berdasarkan kriteria tertera ialah Shahrul Saad dan Fadhli Shas.

Lebih meyakinkan, kontrak kedua-dua pemain bersama JDT dilaporkan akan tamat pada November nanti dan sehingga kini tiada khabar mengenai penyambungan kontrak berkenaan dari pihak Harimau Selatan.

Persoalannya, siapakah di antara dua pemain itu yang dilihat lebih sesuai untuk menyertai revolusi Perak FC selepas bertahun-tahun terpalit dengan isu kewangan.

Shahrul Saad kini digelar kereta kebal JDT. — Facebook/JDT

Bagi Shahrul Saad, dia pernah berkhidmat dengan Perak FC daripada 2016 sehingga 2021 dan dikenali sebagai pemain yang setia.

Ketika Perak FC semakin dirudum masalah kewangan pada 2020, ramai pemain mula meninggalkan Perak FC, seperti Kenny Palraj dan Brendan Gan yang menyertai pasukan sekitar Lembah Klang.

Namun, tidak bagi Shahrul yang menyatakan kesetiannya buat Perak FC dengan terus kekal untuk menabur bakti.

Tidak boleh dinafikan, peluang untuk menyertai JDT sukar untuk ditolak apabila pasukan itu megah di arena bola sepak tempatan.

Shahrul akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Perak FC selepas pasukan itu menamatkan saingan liga di tangga tercorot pada 2021 berikutan pemotongan mata.

Fadhli Shas kini dipinjamkan ke Melaka United. — Facebook/JDT

Bagi Fadhli Shas pula, masa depan yang semakin kelam bersama skuad Harimau Selatan membolehkannya berada di bawah kendalian LTK musim depan.

Meskipun hangat penyokong mengatakan Shahrul adalah pilihan yang lebih dinanti-nantikan, Fadhli mampu menyumbang pengalaman kepada skuad muda itu.

Ketika ini, pemain berusia 31 tahun itu sedang berkhidmat buat kelab bergelut, Melaka United apabila dipinjamkan buat semusim dengan sumbangannya semakin terhad.

Biarpun dia tidak pernah menyarung jersi Perak FC, namun statusnya sebagai anak kelahiran Perak menjadikan dia salah seorang daripada calon tersebut.

Bagi mengetahui jawapan kepada khabar angin berkenaan, kita perlu tunggu jendela perpindahan dibuka nanti.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram