Martabat semula anak jati Sabah macam Matlan Marjan, Harun Laban


  • Podium
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Skuad Sabah FC menampilkan aksi cemerlang dalam musim Liga Super kali ini. — Bernama

SKUAD Sabah FC pada musim Liga Super musim ini berjaya mempamerkan aksi yang konsisten berbanding pasukan lain.

Malah, pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu kini berada di kedudukan kedua Liga Super di belakang Johor Darul Takzim (JDT).

Pada masa sama, lima rekod perlawanan sebelum ini juga menunjukkan yang skuad Sang Badak hanya mencatatkan satu kekalahan, satu seri dan tiga menang.

Mahu menampilkan skuad yang lebih kuat untuk musim depan, Kim Swee dilaporkan bercadang untuk memilih pemain skuad kebangsaan bagi beraksi bersama kelabnya.

Antara nama yang disebut untuk beraksi bersama Sabah FC adalah Safawi Rasid, Brendan Gan, Faisal Halim dan Khuzaimi Piee.

SabahFCvsN9FC20220304_0006FullTime

Antara aksi Sabah FC dalam Liga Super. — Sabah FC

Namun, dalam kerancakan Sabah FC merancang memperkuatkan skuad bagi musim depan, masih ada penyokong yang berharap bakat dari negeri di bawah bayu itu sendiri yang dicungkil dan diberikan lebih peluang membuktikan kemampuan.

Seorang penyokong Sabah FC, Paude Udie berkata, ada baiknya jika Kim Swee dapat mengasah bakat pemain negeri itu sendiri yang berpotensi.

"Kita rindu penyerang macam Hassan Sani, James Wong, Hendry Anjun, Matlan Marjan, Harun Laban, Jackrison Kilan, Suharmin Yusuf, Mhd Jaya Kasim dan Zainizam Marjan. Mereka ini yang menjadi mesin gol Sabah FC satu ketika dahulu," katanya.

download (44)

Matlan Marjan antara pemain kebanggan Sabah satu ketika dahulu. — Facebook

Seorang lagi penyokong, Adlan M Adlan juga bersetuju jika ruang dan peluang diberikan kepada pemain negeri Sabah sendiri.

"Janganlah ambil semua, 50-50 sudahlah. Beri peluang anak jati Sabah juga. Ramai yang ada bakat dan boleh bermain," katanya.

Namun bagi Suria Tungol pula, dia melihat bahawa Kim Swee memang ada perancangan untuk menaikkan pemain dari Sabah.

"Sekarang ini dia sedang membentuk pemain sedia ada. Kita ada penyerang muda dari Sabah tetapi sampai sekarang masih kurang menyerlah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram