'Main bola sambil berniaga', antara 5 perubahan positif TRW sejak diterajui Zamsaham


  • Podium
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Zamsaham (tengah, bertopi) bersama pasukan Kelantan FC meraikan kejayaan mara ke saingan Piala Malaysia pada tahun lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC

TIDAK dinafikan, Kelantan FC telah melalui perubahan sejak diambil alih oleh ahli perniagaan, Norizam Tukiman atau Zamsaham pada September 2020.

Zamsaham dilaporkan berkata, beliau telah mengeluarkan perbelanjaan RM6.8 juta bagi memiliki syarikat Team The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, yang menguruskan pasukan Kelantan FC

Daripada sebuah pasukan yang sentiasa bergelut dengan masalah kewangan, perubahan yang dibawa oleh Zamsaham bukan sekadar omong kosong untuk menaikkan rating, sebaliknya, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu benar-benar berminat untuk 'masuk' ke dalam industri bola sepak.

1) Gaji tidak pernah tertunggak

296277190_7792144107522695_3923704432270374639_n

Sesi latihan pemain Kelantan FC sebelum perlawanan seterusnya. — Facebook/TRW Kelantan FC

Semenjak Zamsaham memegang TRW, masih belum terdapat sebarang berita atau kenyataan melaporkan bahawa pemain pasukan tersebut berdepan dengan tunggakan gaji.

Mac lalu, pasukan tersebut menafikan khabar angin yang beredar di media sosial yang mengatakan pemain mereka sudah tiga bulan tidak menerima sebarang gaji.

Pasukan itu menegaskan, gaji pemain tidak pernah tertunggak selepas Zamsaham mengambil alih pasukan.

2) Gah di persada Liga Premier

Screenshot 2022-07-29 210605

Kelantan FC berada di tangga teratas Liga Premier ketika ini.

Pada 2019 sebelum Kelantan FC diambil alih oleh Zamsaham, pasukan itu berada di tangga ke-10 dalam Liga Premier.

Namun, kedudukan Kelantan FC semakin meningkat apabila berada di tangga keenam pada tahun 2020 dan 2021, selepas diambil alih oleh Zamsaham.

Manakala pada musim ini, Kelantan FC gah berada di tangga teratas di depan beberapa pasukan lain seperti Johor Darul Takzim (JDT) II, T-Team, PDRM FC dan Perak FC.

Kelantan FC setakat ini menang lapan daripada 11 perlawanan dan berjaya memungut 26 mata.

3) Memiliki kelab di luar negara

Screenshot 2022-07-29 210834

Pertembungan Kelantan FC dan PSPS Riau baru-baru ini dibatalkan. — Facebook/TRW Kelantan FC

Selepas Kelantan FC, Zamsaham terus melebarkan sayapnya dalam industri bola sepak di negara jiran apabila sah menjadi pemilik baharu pasukan PSPS Riau di Indonesia.

Norizam dilapor berkata, pengambilalihan PSPS Riau dilihat menempa satu sejarah baharu kerana Kelantan FC dan pasukan itu dimiliki individu yang sama dan berhasrat untuk mengangkat pasukan ke tahap yang lebih berdaya saing.

Bulan ini, Kelantan FC sepatutnya mempunyai perlawanan bersama PSPS Riau, namun ia dibatalkan atas sebab yang tidak diingini.

Meskipun dibatalkan, ia juga membuktikan Kelantan FC berpeluang untuk bermain di luar negara, selain dikenali ramai menerusi perlawanan persahabatan.

4) Kebajikan pemain terbela

Inisiatif bijak diambil oleh Kelantan FC apabila pasukan itu pada November tahun lalu melancarkan perkongsian perniagaan Zamburger Street Food bersama pegawai dan pemain pasukan itu yang terpilih.

Zamsaham dilapor berkata, menerusi perkongsian perniagaan burger itu, pegawai dan pemain akan meraih 70 peratus keuntungan hasil daripada jualan burger pada setiap bulan itu.

Jelasnya, ketua jurulatih pasukan, Rezal Zambry Yahya adalah individu pertama daripada TRW yang dipilih untuk menjadi rakan kongsinya itu.

Katanya lagi, sambil menjadi jurulatih TRW, Rezal juga dapat menambah pendapatan harian hasil perniagaan itu.

"Ini adalah permulaan dan Insya-ALLAH kita akan berikan nanti kepada pemain-pemain TRW yang terpilih untuk mendapat pendapatan tambahan yang lebih konsisten sebab sedia maklum, pemain-pemain mungkin hanya ada gaji ketika kontrak tapi selepas habis kontrak tak ada gaji.

"Jadi saya rasa dengan pembaharuan ini, mungkin walaupun sekadar jual burger tapi dapat bantu pendapatan yang konsisten, dan menjamin masa depan sebagai seorang pemain dan dalam industri bola sepak," katanya.

5) Kelebihan buat penyokong

Screenshot 2022-07-29 211154

Antara tawaran Kelantan FC buat para penyokong. — TRW

Bagi menghargai usaha peminat yang menyokong Kelantan FC, pasukan itu juga menawarkan pelbagai promosi.

Menurut laman TRW, terdapat empat pakej keahlian buat penyokong iaitu Premier, Platinum, SuperB dan SuperB Platinum.

Tawaran termasuk penginapan percuma di hotel dan resort Zamburger, diskaun cenderahati, mafla percuma, topi percuma, percuma beras TRW Herbal Ponnie Athletet Class, percuma baju Polo TRW, percuma bergambar bersama TRW serta percuma kelas online bersama Zamsaham.

Kesemua tawaran tersebut adalah mengikut terma dan syarat tertentu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram