Polis cari dua beradik hilang di Beluran 


  • 112
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Hawa Syaqira Jeif (kiri) dan adiknya, Nurul Syuhada Asyiqin kali terakhir dilihat di rumah mereka di Ladang Monsok pada Selasa. 

PENCARIAN dua beradik perempuan, masing-masing berusia sembilan dan 12 tahun, yang hilang dari rumah mereka di Beluran, Sabah sejak Selasa giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, Hawa Syaqira Jeif dan adiknya, Nurul Syuhada Asyiqin kali terakhir dilihat di rumah mereka di Ladang Monsok pada Selasa.

Beliau berkata, satu laporan difailkan pada Rabu sekitar pukul 10.24 pagi.

Katanya, dalam laporan itu, bapa mangsa, Jeif Wong, 46, yang bekerja di ladang itu memaklumkan kali terakhir dia melihat anak perempuannya pada pukul 8 pagi, Selasa sebelum keluar ke tempat kerja.

“Memang perkara biasa bagi lelaki itu untuk meninggalkan anak-anaknya di rumah apabila dia pergi bekerja.

“Bapa dan sanak saudara mangsa menguar-uarkan berita kehilangan anak perempuannya itu di Facebook bagi mendapatkan maklumat mengenai keberadaan gadis tersebut.

“Operasi mencari diaktifkan meliputi Ladang Monsok serta kawasan berhampiran termasuk Hotel London di Sandakan, yang mana saksi mendakwa ada ternampak mereka.

"Setakat ini, kedua-dua kanak-kanak itu masih belum ditemui," kata Kasim pada Jumaat.

Polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis Beluran di talian 089-511 222 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fakhrullah Wahab di talian 013-512 6121, atau menghubungi balai polis berhampiran. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram