'Dalam mengutuk mengata JDT, dalam kita tidak sedar,' Ramai tumpang bangga


  • Podium
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Aksi pemain JDT mendapat pujian majoriti penyokong bola sepak tanah air. — Facebook

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mendahului Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), selepas seri 0-0 dengan pendahulu Liga J1 Kawasaki Frontale dalam perlawanan sengit di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis.

Pada perlawanan malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan bagi memburu gol, sebaik sahaja wisel perlawanan ditiup pengadil.

Beberapa siri serangan awal skuad kendalian Toru Oniki hampir menerjah gawang, namun kebanyakannya tersasar.

Beberapa peluang mencetak gol hampir dilakar skuad Harimau Selatan pada saat-saat akhir babak pertama oleh pemain pertahanan JDT Leandro Velazquez, namun tendangan jauhnya tidak cukup kuat untuk membolosi pintu gol lawan, manakala rembatan Bergson Da Silva sedikit tersasar ke pintu kanan gol lawan pada minit ke-40.

Keputusan kekal 0-0 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol pendahuluan, tetapi percubaan demi percubaan terus menemui jalan buntu.

Kawasaki Frontale mengatur langkah dengan mengantikan Daiyan Tono dan Kaazuya Yamamura, dengan Yasuto Wakizaka dan Shintaro Kurumaya, bagi cuba mengubah kedudukan perlawanan.

Harimau Selatan pula membuat lima pertukaran pada separuh masa kedua dengan mengeluarkan Velazquez dan membawa masuk Safiq Rahim, Arif Aiman (Safawi Rasid), Afiq Fazail (Nazmi Faiz), Da Silva (Ramadhan Saifullah) dan Fernando Forestieri (Hazwan Bakri).

Bagaimanapun percaturan dibuat kedua-dua pasukan itu, gagal menghasilkan sebarang gol sehingga tamat masa perlawanan.

JDT Table

Kedudukan Kumpulan I selepas tiga perlawanan.

Keputusan mengikat jaguh kelab Jepun itu ternyata mendapat pujian serata penyokong seluruh negara selain peminat JDT.

Seperti disuarakan Syafiq Asyraaf dalam komennya di media sosial, sebagai penyokong Terengganu, dia tumpang bangga dengan kejayaan yang dicapai JDT.

"JDT semakin meningkat naik. Anda contoh buat pasukan-pasukan liga negara kita untuk naikkan semangat mereka yang juga mampu memberi impak positif buat semangat pasukan negara.

"Tetapkan berusaha JDT, insyaALLAH anda mampu memberi keputusan terbaik selaku wakil Malaysia," tulisnya.

Sementara itu, penyokong Kedah, Azeriq Akhlaken juga memuji persembahan JDT mengikat Kawasaki.

"Dalam kita kutuk mengata JDT, dalam kita tak sedar, liga kita dah berada di peringkat lain.

"Saya bagi contoh TFC lawan JDT, memang rancak perlawanan. Itu membuktikan kelab di Malaysia dah nampak apa yang TMJ buat untuk JDT, apa yang TMJ mahukan.

"Teruskan bersaing secara sihat, insyaALLAH, apa yang TMJ buat untuk JDT memang terbaik. Salam dari penyokong Kedah," katanya merujuk TMJ kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Selain itu, penyokong Penang FC juga tidak melepaskan peluang menghamburkan pujian kepada JDT.

"Tahniah JDT, perlawanan terbaik. Kami bangga! Ikhlas dari penyokong Penang," tulis Muhamad Izuan Zulhajat.

Keputusan seri itu membolehkan JDT mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan, manakala Kawasaki Frontale di tempat kedua dengan lima mata, Ulsan Hyundai yang mengutip empat mata di tempat ketiga manakala Guangzhou FC di tempat terakhir selepas gagal mengutip sebarang mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram