SELEPAS berjaya membenam kelab bola sepak Korea Selatan, Ulsan Hyundai, ramai yang mula menantikan perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) bersama dengan kelab bola sepak Jepun, Kawasaki Frontale di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 pada malam Khamis.
Namun, menentang Kawasaki Frontale bukanlah sesuatu yang muda tetapi peminat JDT begitu optimis dengan perlawanan tersebut.
Seorang pengguna media sosial, Eriez Mann berkata, tiada yang mustahil dalam bola sepak kerana Barcelona pun pernah kalah dengan kelab bawahan Liga Sepanyol.
"Kekuatan kita seimbang dan yang membezakan hanyalah taktikal perlawanan sahaja. JDT perlu lebih berani pegang bola lama dan permainan pantas.
"Kawasaki pun orang juga, bukan motosikal Kawasaki. Jadi tak perlu gentar, lawan habis-habisan dan jangan beri ruang lagi," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Nordin Ahmad berkata, dia berharap supaya JDT menganggap pihak lawan sebagai 'team ayam'.
"Kalau anggap dia team kayangan, memang tekanan itu akan datang pada JDT. Harap banyakkan berlari biar Kawasaki cepat pancit dan peluang untuk laukkan dia memang terbuka luas," katanya.
Turut bersetuju dengan pendapat itu adalah Lie Imma yang beranggapan bahawa setiap pemain perlu yakin pada diri sendiri.
"Jangan mudah mengalah, tanam dalam hati sebulat-bulatnya dan kekalkan momentum," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram