Sokong Guangzhou FC seorang diri di Stadium Sultan Ibrahim, kagum aura penyokong JDT


  • Podium
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Zheng ketika hadir pada perlawanan antara JDT dan Guangzhou FC Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. — Instagram/Ll Zheng

PADA perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Guangzhou FC baru-baru ini, seorang penyokong Guangzhou FC tular di media sosial selepas videonya bersendirian di stadium dirakam oleh penyokong JDT.

Ramai yang kagum dengan kesetiaan pemuda itu yang dilihat tetap bersemangat memberi sokongan di kawasan pelawat walaupun bersendirian.

Bercakap kepada Majoriti, pemuda yang bernama Ll Zheng itu berkongsi pengalamannya hadir ke Stadium Sultan Ibrahim bersendirian.

"Sebenarnya saya merupakan seorang pelajar di Singapura, jadi saya datang ke Johor dari Singapura. Saya cuba mencari peminat Guangzhou FC yang lain di Singapura dan Johor Bahru tetapi tak jumpa.

"Jadi pada malam itu saya merupakan penyokong tunggal Guangzhou FC yang berada di situ. Selalunya memang ramai penyokong yang akan hadir ke perlawanan di luar negara namun disebabkan pandemik, mereka menghadapi kesukaran untuk hadir.

"Ini merupakan pertama kali saya ke stadium berseorangan, selalunya saya akan pergi bersama rakan-rakan," katanya.

Dia mengakui berasa keseorangan ketika perlawanan itu dan hanya mampu berbual dengan pengawal yang bertugas di kawasan tempat duduknya.

Zheng berkata, dia berterima kasih kepada pengawal yang banyak membantunya ketika perlawanan itu.

Tambahnya, terdapat beberapa penyokong JDT yang turut menegurnya pada malam itu.

"Ada juga beberapa peminat JDT yang menegur saya dan ada seorang yang bertanya mengapa saya bersendirian.

"Peminat JDT memang amat bersemangat dan saya suka suasana di stadium itu, jadi walaupun saya bersendirian, perlawanan itu tetap menarik buat saya," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia sedar bahawa dirinya tular di negara ini, Zheng berkata, dia pada mulanya pelik apabila laman Instagramnya tiba-tiba dibanjiri komen, tanda suka dan mesej oleh rakyat Malaysia.

Selepas beberapa netizen menunjukkan video tular yang memaparkan dirinya itu, barulah dia tahu mengapa sebabnya.

"Saya berasa bangga tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanyalah seorang penyokong yang biasa, sama juga seperti penyokong JDT dan penyokong Guangzhou lain yang tidak dapat berada di stadium pada malam itu," katanya.

Zheng turut memuji Stadium Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai besar dan cantik. Selain itu, dia turut kagum dengan sokongan padu yang ditunjukkan penyokong JDT.

"Walaupun saya tidak faham apa yang mereka nyanyikan, saya merasakan mereka sangat hebat dan bersemangat terhadap pasukan JDT.

"Persamaan yang saya boleh lihat bagi kedua-dua penyokong Malaysia dan China, bola sepak adalah sebahagian daripada kehidupan kita," katanya.

Zheng turut memberi pesanan kepada peminat bola sepak negara ini yang kagum dengan kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan olehnya.

"Saya ingin katakan supaya terus menyokong pasukan anda, ketika jatuh dangan bangun mereka. Kadangkala pasukan anda mungkin melalui tempoh gelap tetapi dengan sokongan anda mereka akan lebih bermotivasi.

"Akhir sekali, bergembiralah setiap kali anda menonton bola sepak walaupun apa saja keputusannya. Anggap ia sebagai masa untuk anda mengeratkan hubungan dengan keluarga, rakan-rakan serta orang yang anda sayang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram