Kenali Haydee Agras, bekas pemain futsal wanita yang kini ketua penganalisis JDT


  • Podium
  • Khamis, 21 Apr 2022

Agras menyediakan kira-kira 300 laporan lengkap perlawanan dan menonton 400 perlawanan bola sepak setiap tahun. — Instagram/Haydee Agras

DALAM sukan bola sepak, kerjasama adalah sangat penting dan merupakan tunjang kejayaan sesebuah pasukan. Setiap individu yang berada dalam pasukan memainkan peranan penting termasuklah para pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan dan juga ahli lembaga pengarah.

Di pasukan Johor Darul Takzim (JDT), terdapat seorang wanita yang menggalas tugas penting sebagai penganalisis pasukan iaitu Haydee Agras yang telah berkhidmat dengan kelab itu sejak beberapa tahun lalu.

Namanya boleh dikatakan tidak begitu dikenali ramai walaupun peranan yang dimainkan dalam pasukan JDT sangat penting dan merupakan antara tulang belakang kepada kejayaan Harimau Selatan.

Menurut pengguna Twitter, @syazrulaqram, Agras menyediakan kira-kira 300 laporan lengkap perlawanan dan menonton 400 perlawanan bola sepak setiap tahun.

"Dalam ramai individu yang menjadi kekuatan JDT, aku tertarik dengan ketua penganalisis JDT iaitu Haydee Agras. Wanita ini bukan sahaja bekerja keras menganalisis prestasi setiap pemain JDT. Malah menganalisis pihak lawan yang akan bertemu JDT.

"Berdasarkan portfolio, setiap musim dia menyediakan 300 laporan lengkap perlawanan dan menonton 400 perlawanan bola sepak setiap tahun.

"Di JDT, dia antara orang kuat Benjamin Mora dalam memberi nasihat berkaitan statistik bola sepak. Jangan kau main-main dengan wanita ini," ciapnya.

Tambahnya lagi, bidang data, statistik dan analisis merupakan antara tulang belakang dalam pembangunan bola sepak dan memerlukan kemahiran dalam matematik model dan reka bentuk.

Agras, 38, merupakan bekas pemain bola sepak futsal wanita untuk kelab Burela dan pernah bekerja untuk sebuah syarikat statistik Rusia, InStat yang menyediakan analisis untuk beberapa kelab besar.

Dia juga telah menghasilkan analisis prestasi untuk Copa Libertadores, Piala Dunia, Piala Afrika, liga Timur Tengah dan banyak lagi.

Agras mempunyai Ijazah dalam Aktiviti Fizikal dan Sains Sukan daripada UCAM dan memulakan kariernya sebagai pembantu di kelab futsal, ElPozo Murcia FS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram