STATUS pasukan bola sepak Jepun sebagai salah satu gergasi Asia dalam sukan itu tidak boleh disangkal lagi.
Ramai pemainnya turut mencipta nama di Eropah seperti Hidetoshi Nakata, Shunsuke Nakamura, Keisuka Honda, Shinji Kagawa dan Yuto Nagatomo.
Generasi baharu pemain Jepun seperti Takumi Minamino dan Takehiro Tomiyasu turut menikmati kemuncak karier mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tahun lalu, sekitar 250 pemain Jepun bermain di Eropah daripada divisyen paling atas sehingga peringkat divisyen tiga, empat dan lima.
Seorang pengguna Facebook, Apacahai Hopachai berkongsi sistem yang diamalkan oleh Jepun dalam membentuk pembangunan bola sepak negara tersebut.
"Jepun mengamalkan sistem bola sepak yang sebenar-benarnya.
"Jepun memulakan dengan membawa masuk barisan kejurulatihan dari Barat untuk didedahkan kepada sistem bola sepak bertaraf dunia.
"Jepun sering membawa lagenda bola sepak dunia sebagai jurulatih untuk para pemain Jepun itu sendiri terdedah dengan ilmu dan pengalaman lagenda-lagenda bola sepak dunia.
"Jepun sentiasa terbuka dengan pendapat dan kritikan daripada lagenda bola sepak dunia. Seperti contoh, Zico pernah menyuarakan yang para pemain Jepun perlu mempunyai ketinggian sama seperti para pemain Eropah jika mahu bersaing bersama kelompok dunia," katanya menerusi ruangan komen di media sosial.
Minamino merupakan salah seorang pemain Jepun yang sedang berkelana di Eropah. — AFP
Ujarnya lagi, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengamalkan sistem yang sama seperti Jepun.
"JDT membawa masuk barisan kejurulatihan Barat bukan kerana mengagungkan mereka. Tapi JDT mahu mengumpul dan menyimpan setiap data sistem bola sepak dunia untuk diguna pakai dalam tiga hingga 10 tahun mendatang.
"Sistem bola sepak dunia perlu dimulakan dari mana? Pertama sekali pengurusan, padang dan akademi akar umbi.
"Jika JDT memulakan sistem bola sepak berkelas dunia pada 2015, maka kita akan dapat lihat pemain akar umbi batch 2015 tempatan JDT berkelas dunia pada tahun 2030 - 2035 nanti.
"Apa berlaku jika kita membawa masuk ramai para pemain dari Barat ? Ya, kita akan melihat bagaimana budaya dan gaya bola sepak dunia depan mata serta kita akan teruja dengan budaya dan gaya tersebut.
"Ia amat positif untuk sistem pembelajaran pemain tempatan," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram