KEPUTUSAN kerajaan yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 sememangnya memberi sinar baharu buat rakyat, terutamanya yang menghadapi masalah kewangan ketika pandemik Covid-19.
Di sebalik kegembiraan itu, rakyat juga berharap agar proses pengeluaran khas itu dipermudahkan termasuk dibayar secara one-off.
Tambahan pula, kemunculan watak Elya yang sinonim sebagai penasihat online KWSP itu sememangnya turut dinantikan ramai.
WATAK Elya yang sinonim dengan KWSP menarik perhatian ramai.
Menerusi laman sosial, Elya memberi panduan mengenai syarat pengeluaran khas tersebut, antara lain terbuka kepada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, permohonan bermula 1 April hingga 30 April 2022 serta pembayaran akan dibuat bermula 20 April 2022.
Antara panduan lain termasuk amaun pengeluaran minimum bermula sebanyak RM50 hingga RM10,000.
Selain itu, pengeluaran tersebut tertakluk kepada baki simpanan Akaun 2 dan jika Akaun 2 tidak mencukupi, simpanan Akaun 1 akan diakses.
Namun, rakyat juga masih tertanya-tanya sama ada pengeluaran khas itu boleh dibuat secara one-off atau berperingkat.
Hal ini kerana rata-ratanya berharap supaya ia boleh dikeluarkan secara one-off.
Bersyukur dengan perkara itu, Brynnz Hasz berkata, dia boleh menarik nafas lega dan berharap semoga permohonannya bagi pengeluaran khas itu diluluskan.
"Yang penting one-off. Amin," katanya.
Turut berpendapat sama, Azlin Alin berterima kasih kepada pihak yang meluluskan pengeluaran khas itu.
"Banyak benda yang boleh dibayar dengan RM10,000 one-off. Terima kasih ALLAH dan terima kasih pada yang meluluskannya," katanya.
HARAPAN rakyat yang mahu KWSP dikeluarkan secara one-off.
Roza Roza menulis: "Alhamdulillah, semoga diluluskan untuk semua dan sekali keluar RM10,000. Dapatlah bagi untuk bayar hutang. Amin."
"One-off ke tidak, masih tak cakap. Jangan nanti satu Malaysia kena game (dipermainkan)," kata Lynn Hashriq.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP berkenaan akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram