RAMAI yang mengharapkan supaya pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diberikan secara penuh (one off).
Selepas pengeluaran sebelum ini dilakukan secara ansuran, sesetengah rakyat melihat insiatif itu kurang membantu mereka terutamanya apabila ada masalah kewangan tidak dapat diselesaikan secara sepenuhnya.
Namun, dalam setiap keinginan rakyat, ada kelebihan dan keburukan yang perlu diperhalusi untuk sebarang tindakan sama ada pembayaran itu dibuat secara one off atau sebaliknya.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pencarum perlu memastikan tujuan pengeluaran wang KWSP dilakukan kerana ia merupakan indikator sama ada tindakan itu akan memberi manfaat atau memburukkan keadaan pencarum.
"Pengeluaran secara one off akan menjadi satu kelebihan buat mereka yang mahu menyelesaikan komitmen kewangan secara penuh (lump sump) yang mana akan mengurangkan komitmen kewangan mereka untuk jangka panjang.
"Ia juga dapat membantu meringankan beban kewangan sekiranya ia diuruskan secara berhemah. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan ada ruang untuk pencarum terus mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, nasihat pengurusan kewangan juga amat diperlukan dalam hal ini supaya pengeluaran tersebut dapat dioptimumkan daripada disalah guna atau dimanfaatkan oleh orang lain.
Katanya lagi, jika pengeluaran dilakukan secara berkala, ia kemungkinan boleh membantu pencarum untuk menyelesaikan masaah kewangan dalam cara berbeza.
"Skim berkala ini dari sudut positif dapat menahan wang tersebut daripada dihabiskan begitu sahaja, namun tidak dinafikan ia bukanlah penyelesaian yang terbaik untuk meringankan beban bulanan.
"Ini berikutan ia hanya diterima untuk satu jangka masa yang singkat dan rakyat akan kembali berdepan masalah kewangan jika ia sudah habis tempoh pengeluaran," ujarnya.
Jelasnya lagi, di sebalik pengeluaran sama ada one off atau berkala, rakyat dan kerajaan juga perlu mempertimbangkan cara untuk menjana semula simpanan KWSP.
Katanya, perkara ini perlu sebagai penyelesaian kepada isu kurangnya simpanan pesaraan yang bakal dihadapi oleh sesetengah pencarum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram