Pengeluaran khas RM10,000 KWSP boleh dibuat mulai 1 April


  • Bizz
  • Rabu, 16 Mac 2022

KERAJAAN pada Rabu membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000. — Gambar hiasan

PERMOHONAN untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022 dan berakhir pada 30 April 2022, manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataan berkata, ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, dan perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.

Namun, KWSP tidak menyatakan sama ada pengeluaran itu boleh dilaksanakan secara 'one-off' atau tidak dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.

Kerajaan pada Rabu membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa depan.

"Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP," katanya pada sidang media khas pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram