Antara syarat pengeluaran KWSP mungkin ditetapkan kerajaan


  • Primer
  • Khamis, 17 Mac 2022

RAMAI yang mengharapkan agar bayaran diberikan secara penuh (one off) dan tidak secara ansuran. — The Star

RAKYAT Malaysia pastinya teruja dengan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 pada Rabu.

Setelah sekian lama menanti, akhirnya rakyat boleh menarik nafas lega dan menumpukan untuk memenuhi keperluan kewangan mereka.

Kini, rata-rata pencarum menantikan pengumuman syarat-syarat pengeluaran sepenuhnya oleh pihak KWSP yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Setakat ini, KWSP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan sebahagian syarat yang merangkumi had pengeluaran, umur dan tarikh permohonan serta pembayaran.

“Permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April 2022.

"Tarikh akhir permohonan adalah pada 30 April 2022 manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.

“Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, serta perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun Dua mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun Satu,” katanya.

WhatsApp Image 2022-03-16 at 8.06.36 PM

WhatsApp Image 2022-03-16 at 8.06.37 PM

KWSP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan sebahagian syarat pengeluaran khas RM10,000.

Selain syarat yang dinyatakan, rakyat masih tertanya-tanya tentang cara pembayaran yang akan dilakukan.

Ramai yang mengharapkan agar bayaran diberikan secara penuh (one off) dan tidak secara ansuran seperti sebelum ini.

Turut dijangka akan ada beberapa syarat tambahan yang akan diumumkan seperti pengeluaran mengikut kategori yang mana mereka yang memerlukan (terjejas) akan didahulukan terlebih dahulu.

Kemungkinan juga, akan ada dokumentasi yang perlu disertakan dalam permohonan yang mana digariskan mengikut kategori pencarum yang mahu mengeluarkan simpanan mereka.

Sebagai contoh, pemohon mungkin diminta menunjukkan status pekerjaan mereka atau penyata pendapatan yang menunjukkan mereka terjejas akibat Covid-19.

Dalam debaran menantikan pengumuman lanjut daripada KWSP, rakyat juga mengharapkan supaya syarat lain yang bakal diumumkan tidak merumitkan agar pengeluaran dapat dilakukan dengan lancar.

Yang pasti, 1 dan 20 April 2022 bakal menjadi hari yang dinanti-nantikan pencarum untuk membuat permohonan dan menerima pengeluaran simpanan KWSP mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram