"Pengeluaran khas KWSP... Pastikan 'one-off', tolong dipermudahkan syarat"


PERINCIAN berhubung pengeluaran khas KWSP itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP dalam masa terdekat. — Gambar hiasan

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu sememangnya berita yang amat dinanti-nantikan rakyat di negara ini yang masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Rata-rata menzahirkan rasa syukur di atas khabar gembira itu dan berharap syarat bagi pengeluaran kali ini tidak ketat untuk memudahkan pencarum.

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Zainalabidin Zainal Zainalabidin berharap pengeluaran khas RM10,000 itu dapat dikeluarkan secara one-off.

"Diharap jangan terlalu ketat syarat yang dikenakan untuk pengeluaran RM10,000 KWSP dan kalau boleh dibayar sekali sahaja.

"(Bayar) one-off RM10,000, jangan dibayar secara berperingkat. Semua ahli-ahli KWSP mahu dibayar one-off KWSP, itu saja.

"Diharap Menteri Kewangan dan pihak KWSP jangan letak syarat yang ketat. Tolong dipermudahkan biar senang bagi ahli-ahli KWSP," tulisnya di Facebook.

netz kwsp

TANGKAP layar komen Zainalabidin berhubung syarat pengeluaran khas RM10,000 KWSP. — Facebook

Sementara itu, Muhammad Razif pula berharap tiada syarat pengeluaran yang bukan-bukan dikenakan nanti.

"Jangan ada syarat yang bukan-bukan sudahlah... biarkan rakyat keluarkan duit tu...jangan disekat dengan pelbagai syarat," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, butiran mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan itu akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat.

KWSP dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran serta mekanisme pembayaran akan dibuat dengan kadar segera.

Dana pencen itu berpendapat bahawa pengeluaran kali keempat itu adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

netz kwsp 2

TANGKAP layar komen Muhammad Razif berhubung syarat pengeluaran khas RM10,000 KWSP. — Facebook

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik itu melanda negara dua tahun lepas.

Pengeluaran i-Lestari ialah pengeluaran menerusi Akaun 2 secara bulanan dan berulang untuk satu tempoh sehingga tamat tempoh kuat kuasa iaitu 31 Mac 2021.

Pengeluaran i-Sinar pula melibatkan dua kategori iaitu Kategori 1 tanpa dokumen sokongan dan Kategori 2 (disertakan dokumen sokongan) daripada Akaun 1.

Kategori 1 bagi ahli yang tidak mencarum sekurang-kurangnya dua bulan berturut-turut semasa permohonan dibuat, ataupun mereka yang mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus ke atas sejak tarikh 1 Mac 2020.

Kategori 2 pula bagi ahli KWSP yang masih berkerja dan pencarum. Mereka mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus dan ke atas sejak 1 Mac 2020.

Sementara pengeluaran i-Citra melibatkan pengeluaran maksimum RM5,000 sama ada daripada Akaun 1 dan Akaun 2 dengan bayaran RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram