MOF nafi Tengku Zafrul letak jawatan


  • Primer
  • Jumaat, 18 Mac 2022

TENGKU Zafrul nafi ketidakhadiran di Parlimen disebabkan ingin meletakkan jawatan. — Bernama

KEMENTERIAN Kewangan menafikan surat peletakan jawatan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tular di media sosial.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas di Twitter, Tengku Zafrul kekal fokus untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela dalam pemulihan ekonomi daripada belenggu Covid-19.

Terdahulu, Tengku Zafrul didakwa meletakkan jawatan selepas beliau tidak hadir di Parlimen pada Khamis.

Namun, beliau menafikan perkara berkenaan dan sebaliknya menjelaskan mempunyai urusan peribadi.

"Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Tengku Zafrul dijadualkan hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) namun tugas itu diganti oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

Sebelum ini, orang ramai mendesak Tengku Zafrul meletakkan jawatan kerana gagal menunaikan permintaan untuk membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram