MESKIPUN dipalit kontroversi tunggakan gaji, pemain Perak FC masih boleh beraksi penuh bergaya dengan jersi baharu kelab untuk perlawanan Liga Premier 2022 yang dilancarkan pada Jumaat.
Difahamkan, jersi tersebut digunakan sebelum jersi rasmi The Bos Gaurus dijangka dilancarkan pada bulan April atau Mei.
'Match Jersey' yang ditaja oleh jenama sukan terkenal, Lotto itu menampilkan empat corak iaitu warna hitam, hijau, serta campuran tiga warna iaitu putih, hitam dan kuning.
Jersi itu turut menampilkan corak berwarna-warni iaitu campuran warna biru, merah, oren, dan kuning.
Teruja dengan penampilan jersi tersebut, seorang peminat skuad Seladang, Mohd Shahadan Mokhtar berkata, dia mahu menempah salah satu daripadanya.
"Yang warna-warni macam sesuai saja bak kehidupan Perak FC, macam-macam ragam," katanya.
Faizul Mohammad pula menulis: "Mantap lain dari yang lain, pasti ada yang ikut lepas ni."
KOMEN netizen berkaitan jersi baharu Perak FC.
Sementara itu, Ashraff Mukhriz Solahuddin berkata, peminat bola sepak tidak harus hanya mengecam isu gaji pemain, sebaliknya perlu menyokong penajaan jersi tersebut.
"Support (sokong) dulu, baru peminat sejati. Yeoop.. padu ni," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan, ada antara pemain kelab itu yang terpaksa menangguh bayaran pinjaman kepada pihak bank, selain ada yang sudah dua bulan tidak membayar sewa kereta.
The Bos Gaurus juga terpalit dengan isu tunggakan bayaran rumah sewa bagi ketiga-tiga skuad Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belianya.
Menurut ejen rumah sewa yang dikenali sebagai Nazri, tunggakan tersebut merangkumi bayaran deposit, sewa selama dua bulan dan juga lain-lain bayaran berkenaan untuk tiga buah rumah yang berjumlah hampir RM14,000 sejak Januari lalu.
Terdahulu, Perak FC berjanji akan melunaskan tunggakan gaji pemain sedia ada selewat-lewatnya pada 7 Mac lalu namun sehingga tarikh itu, difahamkan pemain belum menerima gaji.
Ketika ini, timbul desas-desus Perak FC akan mendapat pemilikan baharu, namun masih belum ada pengumuman rasmi kelab berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram