Kita akan pastikan hak, kesusahan mereka terbela — Faizal Azumu


  • Podium
  • Isnin, 14 Mac 2022

ADA penyokong Perak FC turut membantu mengumpulkan dana bagi pemain kelab itu yang berdepan dengan tunggakan gaji. — Facebook Perak FC

KONFLIK gaji pemain dan pegawai Perak FC mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang turut bersimpati dengan nasib mereka.

Majoriti sebelum ini melaporkan, ada antara pemain kelab itu yang terpaksa menangguh bayaran pinjaman kepada pihak bank, selain ada yang sudah dua bulan tidak membayar sewa kereta.

The Bos Gaurus juga terpalit dengan isu tunggakan bayaran rumah sewa bagi ketiga-tiga skuad Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belianya.

Menurut ejen rumah sewa yang dikenali sebagai Nazri, tunggakan tersebut merangkumi bayaran deposit, sewa selama dua bulan dan juga lain-lain bayaran berkenaan untuk tiga buah rumah yang berjumlah hampir RM14,000 sejak Januari lalu.

Terdahulu, Perak FC berjanji akan melunaskan tunggakan gaji pemain sedia ada selewat-lewatnya pada 7 Mac lalu namun sehingga tarikh itu, difahamkan pemain belum menerima gaji.

Meskipun bersimpati dengan perkara itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa, kerajaan tidak boleh masuk campur perkara melibatkan persatuan atau kelab bola sepak, termasuk isu gaji pemain yang tidak dibayar.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, hal ini kerana terdapat peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

KUALA LUMPUR, 19 Julai -- Menteri Besar Perak yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap pada sidang media di sini hari ini berhubung perlawanan akhir Piala FA 2019, esok.
--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

AHMAD Faizal berkata, pihaknya akan memastikan nasib pemain Perak FC terbela. — Bernama

Namun, Ahmad Faizal berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung nasib pemain bola sepak yang berdepan dengan masalah gaji.

"Kita akan pastikan yang hak mereka untuk dapat gaji itu terjaga dan kesusahan mereka itu terbela," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga anak kelahiran Perak menghargai usaha sebilangan penyokong Perak FC yang bersatu untuk mengumpulkan dana bagi membantu pemain kelab tersebut.

"Jadi, saya puji apa yang dibuat oleh para penyokong ini. Sebagai salah seorang peminat bola sepak, saya turut menyokong usaha tersebut," tambahnya.

Sebelum ini, Skuad Piala Presiden dan Belia turut menerima kesan sehingga dibantu oleh penyokong Perak, Kelab Gendang Perak mengambil inisiatif menghulurkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada mereka.

Kumpulan itu juga melancarkan tabung bantuan untuk mengutip dana bagi diserahkan kepada pemain pasukan Piala Presiden dan Belia yang terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram