SATU demi satu masalah menimpa pasukan Perak FC sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutamanya isu tunggakan gaji yang menyebabkan pasukan itu dikenakan larangan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara itu menyebabkan kelab terpaksa memulakan kempen Liga Premier dengan hanya 20 pemain selepas tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu.
Perak FC juga dilaporkan masih belum menjelaskan bayaran yang dijanjikan pihak pengurusan membabitkan tunggakan dua bulan pemain baharu dan empat bulan pemain lama.
Pada Sabtu pula, Majoriti melaporkan bahawa pemain-pemain kelab itu berdepan risiko kehilangan tempat tinggal disebabkan pihak pengurusan gagal menjelaskan bayaran rumah sewa kepada ejen.
Perkara itu dilihat membuatkan ramai peminat Perak FC jemu dan sudah tidak sabar dengan pihak pengurusan yang disifatkan seringkali menabur janji palsu kepada para penyokong dan pemain.
Seorang penyokong The Bos Gaurus, Kao Othman, mencadangkan supaya kelab itu dimiliki oleh penyokong dan berharap ada jutawan yang berasal dari Perak memberi sokongan kewangan.
"Moga ALLAH permudahkan... lancarkan tabung untuk bantu, alang-alang biar penyokong yang jadi pemilik kelab. Mana yang mampu boleh taja sorang sikit... ramai juga jutawan orang Perak," katanya.
Ia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan banyak lagi kelab di seluruh dunia yang mengamalkan sistem pemilikan oleh penyokong kelab.
Jika Perak FC berjaya merealisasikan perkara itu, ia bakal mengikut langkah gergasi Eropah, Real Madrid dan Barcelona yang juga dimiliki oleh penyokong kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram