Bakal pemilik Bos Gaurus bukan asal Perak?


  • Podium
  • Rabu, 16 Mac 2022

PERAK FC bakal mendapat pemilik baharu ekoran kemelut kewangan yang membadai kelab itu. — Facebook

SPEKULASI mengatakan Perak FC akan beralih tangan ke pemilik baharu semakin kuat diperkatakan ekoran kemelut kewangan yang membadai kelab itu.

Terdahulu, laporan menyebut ada pihak berminat untuk mengambil alih pengurusan kelab The Bos Gaurus tetapi meletakkan syarat jika mahu berbuat demikian.

Bakal pemilik baharu itu mahu pemilik sedia ada, Impact Media and Communication Sdn Bhd (IMC) melepaskan sepenuhnya skuad Seladang itu.

Berhubung status bakal pemilik Perak FC, sumber yang rapat dengan pihak pengurusan kelab memberitahu Majoriti bahawa pihak yang akan menguruskan Perak FC selepas ini bukan berasal dari negeri itu.

Bagaimanapun kata sumber itu, pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut tentang peralihan tersebut sama ada ia dapat direalisasikan, sekali gus menyelamatkan Perak FC.

Kegagalan IMC menunaikan janji membayar gaji beberapa pemain skuad Seladng pada tarikh sepatutnya menyebabkan penyokong The Bos Gaurus tumpang bersimpati dengan nasib yang melanda pasukan kesayangan mereka.

Ada yang mencadangkan supaya kelab itu dimiliki oleh penyokong, selain ada juga yang berharap supaya ada jutawan yang berasal dari Perak memberi sokongan kewangan.

Antara nama-nama yang bermain di bibir peminat skuad Seladang untuk menyelamatkan pasukan kesayangan mereka termasuklah beberapa ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang disegani.

Mereka termasuklah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; personaliti seni, Tan Sri Michelle Yeoh; Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapa Kamal yang kesemuanya berasal dari Perak.

Dua nama lain ialah Pengerusi Kumpulan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman masing-masing berasal dari Klang, Selangor dan Kelantan.

Antara faktor yang mendorong peminat mengharapkan VIP terbabit tampil sebagai hero menyelesaikan krisis genting itu termasuklah ada dalam kalangan mereka yang berasal dari Perak, selain sinonim dengan kejayaan dalam bidang masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram